Penyanyi Ernie Zakri,29, mendedahkan pada fasa awal kehamilan, dia alami alahan seperti muntah-muntah dan mudah penat hingga menyukarkan aktiviti nyanyian.
Bagaimanapun, selepas kandungannya memasuki tempoh terakhir trimester kedua, situasi mulai berubah dan dia kini dilihat masih mampu menyanyikan lagu nada tinggi dengan baik.
Menurut Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri yang kini hamil tujuh bulan, semuanya adalah rezeki dari Allah SWT.
“Alhamdulillah, ini adalah rezeki. Sebenarnya pada awal kehamilan dan trimester kedua memang tak boleh menyanyi langsung. Saya alami alahan muntah muntah dan cepat penat.
“Tapi, apabila nak ke akhir trimester kedua saya sudah ‘enjoy’ kehamilan ini. Itu sebab saya boleh ambil dan terima tawaran menyanyi. Lagi satu sebenarnya gian menyanyi sentiasa ada walaupun sudah hamil.
“Mungkin ada orang tak suka menyanyi ketika hamil. Tapi saya lebih suka di atas pentas. Sebab tu tak nak tolak beberapa perkara. Saya fikir selepas ini akan cuti agak lama dalam dua bulan untuk berpantang.
“Jadi biarlah lepas geram dulu. Dalam masa sama keutamaan saya tetap menjaga kesihatan,” katanya yang turut terlibat pada Malam Aspirasi Seni bersempena program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.
Selepas selesai membuat persembahan, isteri kepada penyanyi Syamel ini terus ke Shah Alam kerana turut membuat persembahan bersempena Shopee 12.12.
“Saya bukan ‘push limit’, sebab saya tahu kalau ‘push’ akan ‘flat’, tak boleh bangun dan menyanyi pun. Tapi sebab ada penjagaan saya boleh susun. Dalam seminggu dalam dua persembahan saja.
“Jadi dapat rehat cukup. Macam malam ini ada dua persembahan secara langsung. Tapi sebab sudah rehat lama sebelumnya, saya okay. Kena ada perancangan juga.
“Doktor pun cadangkan jangan kerja kuat. Tapi tidak ada masalah untuk kerja. Dia suruh banyakkan latihan dan jalan supaya senang bersalin nanti.
“Mugkin saya tidak ada latihan, tapi saya aktifkan diri. Kalau sebelum ni sangat lemah, baring saja dan tak nak ‘online’ media sosial,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.