Kanye West Kahwin Kali Kedua Dengan Pereka Yeezy, Bianca Censori

Share

Penyanyi rap antarabangsa, Kanye West dikhabarkan sudah mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan pereka fesyen jenama miliknya Yeezy iaitu Bianca Censori.

Menerusi laporan media antarabangsa, penyanyi berusia 46 tahun itu berkahwin di satu lokasi rahsia di Beverly Hills, Amerika Syarikat.

Walaupun sudah bertiup kencang mengenai perkahwinan itu, namun Kanye masih belum tampil memberikan kenyataan rasmi tentang hal tersebut.

Bianca dikatakan mula bekerja untuk jenama yang diusahakan Kanye itu sejak tahun 2020.

Namun tidak diketahui sejak bila kedua-duanya mula menjalinkan hubungan istimewa.

Terdahulu, Kanye pernah berkahwin dengan sosialit terkenal, Kim Kardashian, 43, pada Mei 2014 namun telah disahkan bercerai pada Februari tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, Kanye dan Kim mempunyai empat cahaya mata, North, 10, Saint, 8, Chicago, 5, dan Psalm, 4 tahun.

Dalam persetujuan bersama, Kanye bersetuju untuk membayar AS$200,000 (RM894,500) sebulan sebagai nafkah tanggungan untuk empat anaknya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar