Karnival Usahawan Wanita Malaysia 2024 bakal berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 November ini bertempat di IOI Grand Exhibition & Convention, IOI City Mall Putrajaya.
Program yang dianjurkan dua jenama ikonik Mingguan Wanita dan Nona di bawah naungan Nu Ideaktiv San Bhd ini bersedia untuk mencipta sejarah sebagai satu lagi inisiatif murni untuk memperkasakan wanita Malaysia melalui platform keusahawanan yang holistik.
Malah, Karnival Usahawan Wanita Malaysia 2024 ini turut mendapat kerjasama padu daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui MyMall.
Majlis perasmian pula telah pun berlangsung dengan gilang gemilang dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan pada Jumaat.
Acara tiga hari ini bukan sahaja meraikan keusahawanan wanita tetapi membuka ruang bagi perbincangan intelektual dan perkongsian strategi untuk mengatasi cabaran serta memperkasakan komuniti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Syamil Fahim Mohamed Fahim, karnival ini adalah satu manifestasi kepada komitmen berterusan untuk memperkukuh peranan wanita dalam sektor keusahawanan.
“Bertahun-tahun kami di Nu Ideaktiv melalui Mingguan Wanita dan Nona memperjuangkan topik dan isu wanita yang kerap kali tersisih dalam arus perdana.
“Tahun ini, kami mengambil satu langkah signifikan dengan melancarkan karnival ini, yang bukan sekadar meriah dan penuh warna, tetapi dipetakan dengan teliti untuk mencapai misi sebenar kami iaitu memperkasakan wanita dengan pengetahuan, semangat, dan jaringan yang mereka perlukan untuk mencipta masa depan vang lebih cerah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Bisnes Wanita, Nu Ideaktiv San Bhd, Kiffy Razak pula mempunyai perspektif unik mengenai isu wanita secara mendalam dan menyeluruh.
Katanya lagi, program ini turut diadakan untuk menyuarakan aspirasi para wanita terutamanya buat mereka yang bergelar usahawan.
“Kandungan yang kami tawarkan dalam karnival ini disusun rapi bukan sekadar atas dasar menyampaikan maklumat, tetapi untuk mencetuskan impak.
“Kami mendengar luahan hati dan aspirasi usahawan wanita tempatan, serta mendekati komuniti kami, sama ada dalam talian atau di acara-acara anjuran kami.
“Sebagai penyambung suara mereka, kami ingin memastikan setiap detik di karnival ini membawa makna yang signifikan, sebuah medium yang mampu mengangkat dan memperkukuhkan peranan wanita dalam ekonomi,” katanya.
Pelbagai program-program menarik bakal berlangsung selama tiga hari ini antaranya talkshow bersama ahli panel dan usahawan terkemuka serta pertandingan-pertandingan
menarik seperti Ratu Jengka, Ratu Karok Vaganza, Permainan Tradisi dan macam-macam lagi.
Karnival Usahawan Wanita Malaysia 2024 berlansung bermula jam 10 pagi hingga 10 malam selama tiga hari bermula hari ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.