Berita

Kasih Leona Umum Nak Kahwin Tahun Depan, Keluarga Tak Bantah Asalkan Tamat Pengajian Terlebih Dulu

Share

Pempengaruh Kasih Iris Leona, 22 mendedahkan dirinya menanam impian untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan kerana mahu bergelar ibu pada usia muda.

Bagaimanapun menurut Leona atau nama sebenarnya Kasih Iris Leona Azhar, dia akui belum mempunyai kekasih hati namun tetap impiannya untuk menamatkan zaman bujang pada tahuh 2025 menjadi kenyataan.

“Saya merancang untuk kahwin tahun depan, memang saya tiada calon lagi tetapi itu merupakan impian saya, harapnya perkara itu tercapai.

“Tahu saya masih muda tetapi saya memang nak jadi ibu di usia muda sebab saya sangat sukakan kanak-kanak.

“Semuanya hanya harapan, kalau ada jodoh, jangan terkejut kalau saya kahwin tahun hadapan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Pelancaran Video Muzik Saranghae Kawanku, Blimey, pada Jumaat.

Mempunyai kriteria tersendiri dalam memilih teman hidup, anak kepada pelakon Azhar Sulaiman itu tidak menafikan agak sukar untuk bertemu lelaki yang menepati cita rasanya.

“Jujurnya saya memang tiada calon langsung, memang saya cakap mahu kahwin tahun depan tetapi saya sibuk dengan kerjaya dan mencari wang sehingga tiada masa mencari cinta mahupun keluar ‘dating’.

“Sebenarnya susah juga mahu cari teman hidup sebab standard saya sangat tinggi dan kebanyakannya tidak mencapai piawaian itu. Setakat ini tiada siapa mampu ‘impress’ saya.

“Saya suka orang yang matang dan lebih tua daripada saya, gigi kena teratur tidak boleh berterabur. Soal rupa saya tidak kisah sebab kebanyakan bekas teman lelaki saya pun bukanlah kacak sangat. Personaliti lagi penting bagi saya,” katanya lagi.

Ditanya adakah hasrat mulianya itu sudah disuarakan kepada kedua orang tua, Leona memberitahu seluruh keluarganya sudah maklum tentang perkara itu, asalkan dia menamatkan pelajaran terlebih dahulu.

“Ayah saya tahu, jujurnya satu keluarga sudah tahu saya mahu berkahwin tahun depan, mereka tidak kata apa-apa dan menyokong usaha murni itu.

“Cumanya saya kena habiskan belajar dan selesaikan apa yang perlu terlebih dahulu, selebihnya mereka okey sahaja asalkan saya bahagia,” katanya.

Terdahulu pada 2022, Leona pernah berkongsi perasaan sedih apabila bekas teman lelakinya, Ryan sudah pun mempunyai kekasih baharu selepas tiga bulan berpisah.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH