Pengacara, Nana Mahazan mengakui, dia ada sebab tertentu mengapa tidak beri fokus terhadap dunia lakonan, meski pernah terlibat di dalam beberapa buah naskhah sebelum ini.

Katanya kepada MH, sebagai seorang yang agak lama dalam industri, dia perlu sedar dan tahu akan kemampuan diri.

“Saya pernahlah dulu berlakon watak-watak kecil. Akan tetapi setakat ini, saya berjanji dengan diri sendiri untuk tidak berlakon lagi.

“Saya pegang janji itu lebih 11 atau 12 tahun lebih kurang, memang agak lama. Bukan merajuk, tapi sebab ‘kau kayu ya’ dan kau kena sedar diri,” kongsinya secara seloroh.

Bagaimanapun pengacara program Mentor 7 ini mengakui masih ada menerima tawaran untuk berlakon drama, beberapa tahun lalu.

Cumanya ibu kepada dua cahaya mata ini agak sukar untuk menjadi orang lain selain menjadi diri sendiri.

“Adalah beberapa tahun lalu ada tawaran berlakon drama, tapi saya beritahu diri sendiri, ‘tak mahulah dan tak nak bodohkan diri sendiri’. Sebabnya, saya tak boleh nak jadi orang lain selain diri sendiri.

“InsyaAllah kalau ada rasa mahu cabar diri, saya tidak teragak-agak untuk cuba. Tapi biarlah apa yang dilakukan itu berbaloi,” kongsi Nana yang pernah menjadi hos bagi program Pesona Pengantin ini lagi.

Ditanya sama ada suami turut memberi kebebasan buatnya dalam mengembangkan kerjaya, Nana menyifatkan dirinya bertuah kerana mempunyai memahami.

“Dia seorang yang sangat menyokong sejak hari pertama lagi kami kenal. Bahkan dia jugalah yang jadi ‘pengkritik tetap’, tegur sama apa yang boleh diperbaiki,” jelas Nana.

Terdahulu, bekas pelajar Akdemi Fantasia musim pertama ini pernah terlibat menerusi filem Gengster dan Maut.

Foto: Instagram Nana Mahazan

Apa Kata Anda