Usahawan sensasi Safiey Illias tampil memberikan penjelasan mengenai pendiriannya untuk bertemu dan menerima nasihat dengan mana-mana pendakwah yang dia selesa yang berniat bagi membimbingnya.
Safiey sebelum ini mendedahkan, dia memilih untuk merujuk dengan Ustaz Ebit Lew kerana lebih selesa dengan pendekatan serta cara pendakwah berkenaan.
“Saya tidak kisah mana-mana individu untuk menegur, cuma bagi saya biarlah cara itu telus. Jangan nampak seperti ia seperti satu strategi pemasaran.
“Saya sendiri tidak tahu golongan ini datang daripada mana. Saya tidak faham.
“Jadi rasanya kalau sesiapa yang nak jumpa untuk berikan nasihat, saya sudah ada Ustaz Ebit Lew dan beberapa ustaz lain. Saya ada nombor mereka untuk dihubungi atau WhatsApp dan begitu juga sebaliknya.
“Rasanya saya tidak perlu meletakkan ramai orang dalam saya punya masalah dan cerita. Saya tahu untuk merujuk kepada sesiapa, yang mana saya selesa,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, penyanyi lagu Syinta Gila ini juga menambah, dirinya berhak untuk memilih.
“Dan ‘PU’ pula, kau tidak boleh nak paksa aku untuk selesa dengan kau. Kalau kau jemput aku (untuk diberikan nasihat), kalau aku tak nak, its okay. Akan tetapi awak janganlah terasa hati.
“Macam dikata seolah-olah saya menolak ajakan awak, saya menolak Islam. Tidak. Saya hanya menolak pelawaan awak sebab saya tidak selesa dengan awak.
“Awak tidak boleh paksa orang untuk suka awak dan tidak boleh paksa orang untuk selesa dengan awak. Saya ada hak untuk memilih,” jelasnya.
Safiey turut menambah, sejujurnya dia terbuka untuk menerima nasihat asalkan caranya biarlah betul dan bukan ada maksud tersirat.
“Biasanya saya memang akan rujuk, mereka ada datang rumah. Kadang-kadang tidak diberitahu dan tidak diwar-warkan di media sosial pun. Mereka memang ikhlas.
“Saya sangat terbuka untuk terima nasihat sebab bagi saya ia satu pengetahuan. Meski kita sudah tahu misalnya kita bukanlah manusia yang baik tetapi sekurang-kurangnya orang tegur kerana orang sayang.
“Cuma cara nak tegur biarlah betul. Bukan kau tegur, hujung-hujung kau jual buku. Itu namanya, engkau yang kena tegur,” akhirinya.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI