“Kebanyakan Tak Lokek Beri Tips Panduan,” – Pelakon Amin Haridz Dalam Rock Sampai Jannah, Teruja Berlakon Dengan Nama Besar

Share

Perasaan teruja mula dirasai pelakon baharu, Amin Haridz apabila satu persatu naskhah lakonannya kini kian diterima ramai.

Bagi pelakon berusia 27 tahun ini, dia gembira apabila menerima maklum balas baik peminat terutamanya orang terdekat yang sentiasa memberikan maklum balas positif setiap karya yang dilakonkan.

“Memang lain perasaan apabila mendapat maklum balas positif daripada peminat yang menonton. Ada yang suka dan ada juga yang memberikan maklum balas sebaliknya.

“Tapi saya terima sahaja maklum balas mereka sama ada baik atau tidak. Itu dijadikan petanda yang mereka menonton dan menghargai karya lakonan saya,” katanya.

Sejak berkecimpung dalam bidang lakonan, Amin sudah terlibat dalam beberapa buah naskhah drama termasuklah Hari Hari Hari Raya, Syurga Nur Muhammad, Cikgu Nerd dan Rentap.

Kali ini, anak kelahiran Pahang itu bakal dengan telefilem Rock Sampai Jannah yang akan ditayangkan esok, pukul 9 malam menerusi TV2.

Tambahnya lagi, dia gembira dapat bergandingan bersama dengan Afiq Shazwan, Sharul Kamal dan Ayie Ilham dalam sebuah kisah yang bakal menarik perhatian penonton.

“Memang ini merupakan antara telefilem yang ditunggu-tunggu oleh kami kerana jalan cerita yang begitu santai dan mencuit hati.

“Kisah santai mengenai empat pemuda yang taasub dengan muzik rock menjadi intipati penting kepada kisah ini. Saya harap semua akan menonton dan memberikan maklum balas.

“Setidaknya itu akan menjadi pelajaran baharu kepada saya untuk terus memperbaiki mutu lakonan dari semasa ke semasa,” tambahnya lagi.

Rock Sampai Jannah mengisahkan tentang empat orang pemuda yang terlalu taasub dengan music genre rock.

Mereka sanggup berhijrah ke Kuala Lumpur untuk membuktikan kepada orang kampung bahawa mereka mampu berjaya dengan apa yang diminati.

Selain keempat-empat pelakon berkenaan, telefilem ini turut dibintangi oleh Didi Zakil, Rosnah Johari, Lan Siro dan Zuhairi Ibrahim.

Bercerita mengenai pengalaman bergandingan dengan nama-nama besar yang lain, Amin Haridz mengakui gembira dapat menimba ilmu baharu daripada mereka.

“Apabila bergandingan dengan nama besar, mereka banyak membatu untuk mencantikkan lagi mutu lakonan. Sebab itu saya teruja setiap kali masuk ke set.

“Kebanyakan orang berpengalaman tidak lokek memberikan tips dan panduan. Sebagai orang baharu, saya amat menghargai dan berterima kasih kepada mereka,” tambahnya lagi.

Selain itu, Amin Haridz juga akan terlibat dalam penggambaran dalam sebuah telefilem berjudul Waris Muhammad untuk RTM dan sebuah drama bersiri 20 episod untuk TV3.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH