Rita Rudaini mengakui dirinya ada perasan kewujudan akaun palsu yang dicipta sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang secara tiba-tiba akan muncul meninggalkan komen negatif apabila dia berkongsi foto anak-anak di laman Instagram.
Tambah Rita, ada ketikanya dia akan turut mengambil pendirian untuk membalas sesetengah komen yang ditulis dari akaun palsu terbabit pada entri foto melibatkan dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 10, dan Airit Qaqa Arjuna, 8.
“Saya ada juga berikan reaksi terutamanya yang beri komen menggunakan akaun palsu. Kebanyakannya yang tidak bergambar. Saya akan balas.
“Saja kadang-kadang kalau ada masa saya ‘melayan’,” katanya.
“Saya perasan, kadang-kadang kalau kongsikan foto anak-anak menerusi Instagram, akan ada akaun palsu yang akan tinggalkan komen.
“Pelbagai komen yang muncul, malah ada yang macam tak puas hati. Nak buat macam mana? Sebabnya, bila saya kongsi foto anak, ramai yang akan berkait, contohnya ada yang beri komen ‘mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi, macam bapa mereka pandai main bola dan macam-macam lagi, akan masuk balik kenangan dulu.
“Saya okay sajalah. Tapi ada pula akaun palsu komen yang tak baik, jadi dari situlah saya mula balas komen,” jelasnya kepada MH.
Ditanya sejauh mana dirinya sebagai seorang selebriti perlu menjawab respon tidak berasas dari sesetengah akaun palsu di media sosial, bintang Mami Jarum ini menyifatkan selebriti juga sama seperti penggguna media sosial lainnya.
“Selalunya saya ikutkan mood. Bagaimanapun, selebriti pun manusia biasa. Jika ia dikira melampau dan rasa perlu komen, komenlah.
“Cuma cara komen tu biarlah berasas atau pun nasihat. Kadang kita pun nak hiburkan ‘hatinya’ yang sunyi, ‘dia’ pun perlukan respon dari kita,” seloroh Rita.
Rita terdahulu ditemui media sejurus selesai saingan program All Stars Buka Panggung (ASBP) minggu keempat, Ahad lalu.
Bintang berusia 41 tahun itu mengungguli minggu keempat program berkenaan, sekali gus menjadi juara mingguan wanita pertama dengan menafikan kemaraan Datuk Fizz Fairuz, Johan Asari dan Ruhainies ke peringkat separuh akhir.
Atas kemenangan yang diraih, Rita memenangi RM4,000 berserta trofi dan wang tersebut telah disumbangkan kepada pelakon veteran tanah air yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Ramli Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Limra.
Merupakan ahli Persatuan karyawan Malaysia, Pak Limra kini difahamkan berada di Pusat Jagaan Mahmudah Warga-Warga Tua di Semenyih, Selangor.
Rita bakal berentap bersama pemenang episod-episod lain pada pusingan separuh akhir pada minggu keenam nanti.
Pusingan akhir pula akan berlangsung pada minggu ketujuh.
ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.
Menampilkan pelawak daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol sebagai pengacara sementara Primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira pula menggalas tugas sebagai Seri Dewi Panggung.
ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand bersiaran setiap Jumaat, pukul 9.00 malam secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam.
Foto: Instagram Rita Rudaini