Atas masalah kesihatan, penyanyi Hael Husaini terpaksa membatalkan konsert sulungnya, Hael Husaini Live in KL yang sepatutnya berlangsung pada 19 Februari depan di Zepp Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan syarikat pengurusannya, Rocketfuel, keputusan itu diambil selepas mengambil kira nasihat doktor.
“Kebelakangan ini, tahap kesihatan Hael tidak berapa baik oleh kerana jadual kerjanya yang terlalu padat.
“Namun begitu Hael masih giat dengan segala persiapan konsert sehingga tahap kesihatannya merosot dan setelah berbincang dengan doktor, dia dinasihatkan untuk berehat dan tidak melakukan sebarang aktiviti seni buat sementara waktu,” kata kenyataan tersebut.
Menurut Rocketfuel lagi, pihak mereka akan membuat pembayaran penuh (refund) kepada pembeli tiket dalam masa terdekat.
“Pihak Rocketfuel Entertainment turut menzahirkan rasa dukacita di atas pembatalan konsert ini kerana segala persiapan sudah pun menghampiri 70 peratus dengan pelbagai aksi menarik yang telah direncanakan dengan lebih kurang 30 buah lagu yang bakal dipersembahkan.
“Hanya ucapan terima kasih yang tidak terhingga dapat kami sampaikan kepada semua pihak kerana dapat menerima pembatalan konsert ini walaupun dengan hati yang berat.
“Semoga semua pihak menerima berita pembatalan konsert ini dengan hati yang terbuka, terima kasih.
“Kami memberi jaminan setiap pembeli tiket akan diberikan refund yang penuh,” katanya lagi.
Sekadar info, Hael atau nama sebenar, Hal Husaini Razmi, 35, mula bergiat aktif dalam bidang seni sejak tahun 2006 sebagai komposer dan penyanyi.
Antara lagu-lagu hit nyanyiannya yang menjadi siulan ramai seperti Jampi, Haram, Hajat dan Kelentang Kelentong.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.