Penyanyi terkenal, Shila Amzah enggan mengulas lanjut mengenai kemelut berpanjangan melibatkan keluarganya yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.
Menurut Shila, dia berharap agar semua pihak dapat memberikannya ruang untuk menyelesaikan isu ini secara dalaman.
“Buat masa ini, saya mengambil keputusan untuk berdiam diri dan membiarkan hal ini reda dahulu. Setiap perkara memerlukan masa.
“Kita juga tak mahu memaksa perkara yang belum sepatutnya berlaku. Ia harus berlaku secara semula jadi.
“Saya dah Syahir hanya boleh berdoa daripada jauh agar perkara ini dapat diredakan secepat mungkin. Saya pun tak mahu bercakap lebih. Ia hal berkaitan keluarga.
“Saya pun bukan jenis yang nak bercakap sentiasa. Harap orang luar juga dapat doakan kami,” katanya kepada MH.
Anak kepada penyanyi, ND Lala itu berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media Family Duo 3 malam tadi.
Ditanya adakah dia akan segera menjernihkan hubungannya bersama ibu, Datin Fauziah Sarman, Shila memaklumkan dirinya kini sedang menantikan waktu yang sesuai.
“Sudah tentu. Dia merupakan ibu saya. Namun bila ketikanya, biarlah masa dan jodoh yang menentukan,” ulasnya lagi.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Patah Seribu ini juga memaklumkan dirinya tidak mahu memberikan ruang buat komen-komen negatif mencemari fikirannya walaupun ada pihak yang melabelkannya sebagai ‘tanggang moden’.
“Saya tak baca kerana komennya terlalu banyak. Di waktu ini, saya lebih mengutamakan orang-orang di sekeliling saya. Orang di luar pun tak tahu mengenai hal sebenar.
“Apa yang diceritakan pihak di sana, kebenarannya belum keluar lagi daripada pihak saya tapi itu tak bermakna saya nak ceritakan kepada umum. Itu hal yang tidak perlu.
“Perkara ini mematangkan saya sebagai seorang manusia, anak, kakak, isteri dan ibu. Saya hanya baca komen-komen yang positif,” katanya lagi.
Pada masa sama, Shila turut mendedahkan dirinya tetap mahu menghargai orang-orang di sekeliling meskipun tanpa kelibat ibunya yang sentiasa menemaninya disetiap pertandingan sebelum ini.
“Alhamdulillah. Saya ada suami, adik beradik suami dan peminat yang datang menyokong. Bagi saya, sesiapa yang ada untuk kita, itu yang kita akan hargai, sayang dan berikan fokus.
“Yang memilih untuk tiada, itu diluar kuasa kita. Siapa kita nak paksakan perkara itu. Saya hanya reda dan mengharapkan ada perkara baik akan berlalu selepas ini,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI