“Kebiasaannya, Seminggu Sebelum Raya…,” – Amy Search Sayu Pertama Kali Sambut Ramadan Tanpa Ibu Tersayang

Share

Kemeriahan menyambut Ramadan tahun ini seperti hilang serinya buat penyanyi Amy Search selepas kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Fatimah Idris Ogos tahun lalu.

Meski sudah lapan bulan ibunya pergi menghadap Ilahi, namun Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman tidak pernah melupakan setiap detik manis yang dilaluinya bersama arwah.

“Tahun ini saya menyambut Ramadan tanpa seorang ibu. Semasa menziarahi pusara arwah, terasa sedih sangat. Ingat lagi dahulu, saya balik ke Johor Bahru menziarahi pusara ayah sebelum Ramadan.

“Kebiasaannya, seminggu sebelum raya, saya sudah berada di kampung. Masa itu, saya kemas rumah, pasang langsir, anyam ketupat dan pergi ke pasar beli keperluan sambut raya.

“Saya akan menyiapkan semua bahan-bahan nak memasak. Termasuklah menu kegemaran, rendang daging atau paru dan ayam masak hijau.

“Masa itu emak sudah tak kuat, sayalah yang masak. Tapi dia tunjukkan macam mana cara nak menumis semua bahan-bahan,” katanya.

Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut dalam tiga minggu lagi, Amy berkata hatinya berasa saya apabila kini sudah tiada lagi tangan yang boleh diciumnya untuk memohon keampunan seperti kelaziman dilakukannya pada pagi raya.

“Sudah pasti Ramadan tahun ini terasa sangat tanpa ayah dan emak, inikan pula pada pagi hari raya kerana tiada lagi mohon ampunkan dosa-dosa saya.

“Al-fatihah buat emak dan ayah. Moga Allah SWT tempatkan ayah dan emak di syurga firdaus dengan keredaanNya,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto: Instagram Amy Search

Published by
Juliana Johar