Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida kembali mencuri perhatian wargamaya selepas memuat naik sepotong video mengenang arwah dua anaknya, Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin dan Muhammad Edrie Zikrie Mohd Amin yang terkorban dalam satu insiden kebakaran di sebuah rumah di Ipoh, Perak lebih tujuh tahun lalu.
Menurut Vida, apa yang berlaku menjadi ujian paling berat yang pernah dihadapinya.
“Tujuh tahun berlalu, kehilangan terpaling paling sakit pernah saya lalui sepanjang hayat saya. Al-Fatihah (dibacakan) buat kedua putera saya, Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin dan Muhammad Edrie Zikrie Mohd Amin,” tulisnya menerusi ruangan kapsyen.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengikut penyanyi lagu I Am Me itu menitipkan dedikasi serta doa buat kedua Allahyarham.
Menitip rasa rindu, tak kurang juga yang meminta Vida semoga terus kuat menghadapi cabaran.
“Alfatihah ya Allah rindu diaorang berdua nih. anak-anak syurga mamanya, teringat gurau dgn diaorang,” tulis seorang kenalan Vida.
“Semoga terus tabah DS Vida. Saya tahu di sebalik ketawa riang Dato Sri, dibaluti kepedihan tidak terperi. Mereka semua sudah di Syurga menunggu mamanya nanti mereka juga yang akan menarik Dato Sri ke Syurga bersama mereka, hugs. I feel you, Al fatihah buat kedua anak syurga,” komen pelakon Zarina Zainuddin.
“YA ALLAH… besar dugaan Dato. Masa berita ni keluar… hati saya pon bagai dihiris-hiris walau saya tak pernah kenal anak-anak ni. Semoga ALLAH akan mempertemukan Dato dengan anakanda Dato di jannah…amin,” respons seorang peminat.
“Anak syurga Dato. Akan tuggu DSV kat syurga. Itu pasti, cara Allah nak bagi kita syurga, ujian dia memang berat tapi kebahagiaan kita kekal di syurga,” tulis peminat lainnya.
Artikel Berkaitan;
Terdahulu, memetik laporan media, ketika kejadian pada 3 Ogos 2013 itu, dua anak lelaki kepada pengasas produk kosmetik Vida Beauty, Datuk Dr Hasmiza Othman dan seorang lagi meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Meru Hills, Taman Meru.
Mayat Eddie Zuhdi Mohd Amin, 11, dan adiknya Edrie Zikrie, 10, ditemui di bilik mandi manakala mayat Mohd Nor Syamil, 26, ditemui di tingkat atas selepas kebakaran yang berlaku pada pukul 9.20 malam Sabtu.
Kebakaran memusnahkan hampir keseluruhan rumah bahagian tepi teres dua tingkat yang digunakan sebagai asrama untuk kakitangan Dr Hasmiza.
Mohd Nor Syamil dipercayai kakitangan Dr Hasmiza.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, P. Samasuvam berkata salah seorang daripada dua kanak-kanak lelaki ditemui dalam keadaan sedang duduk di atas lantai dan yang lain ditemui terbaring di atas lantai.
Samasuvam menambah, dua lelaki berjaya melarikan diri daripada kebakaran dengan melompat keluar dari tingkat atas. Salah seorang daripada mereka dipercayai patah kaki.
Jenazah kedua-dua kanak-kanak lelaki itu telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Meru pada kira-kira pukul 10 pagi Ahad. Al-Fatihah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini