Penyanyi, Datuk Nora Ariffin mendedahkan dirinya turut berasa terkesan apabila setiap kali mendengar perkhabaran mengenai orang yang meninggal dunia secara mengejut.
Menurut Nora, dia sering kali memikirkan mengenai perasaan orang-orang tersayang lebih-lebih lagi buat mereka yang sukar untuk menerima kenyataan tentang pemergian tersebut.
Katanya lagi, dia juga dapat membayangkan kesedihan yang dialami sekiranya mereka tidak reda dengan takdir tersebut.
“Setiap kali membaca berita tentang kematian mengejut, hati saya turut merasa sebak dan sedih membayangkan kesedihan dan kesusahan yang bakal dihadapi sekiranya tak reda dengan takdir Allah SWT,” tulisnya.
Luahan tersebut dikongsikan sendiri oleh penyanyi lagu, Samudera itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di ruangan Instagram story.
Dikesempatan itu juga, Nora turut menitipkan doa semoga mereka yang terkesan akibat kehilangan orang tersayang ini akan diberikan kekuatan dan semangat untuk meneruskan kehidupan.
“Moga Allah kurniakan kekuatan dan kesabaran kepada semua yang sedang mengharungi fasa ‘KEHILANGAN’ yang tidak akan kembali lagi,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Nora pernah melalui fasa yang amat berat di dalam hidupnya selepas pemergian Allahyarham suami yang juga merupakan pengarah muzik terkenal, Johan Nawawi dan anak lelakinya, Muhammad Syakir Alif.
Selepas empat tahun bersendirian, Nora akhirnya bertemu jodoh dengan pilihan hati yang juga merupakan Penyarah Kanan, Universiti Malaya, Dr. Rushdi Ramli.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber: Instagram Nora Ariffin