Pelakon dan pengacara, Uyaina Arsyad, 29, kini sah bergelar isteri kepada lelaki pilihan yang juga penyanyi, Raja Syahiran, dengan sekali kali lafaz dalam majlis yang berlangsung di Colony by KLCC pada jam 9.03 pagi tadi.
Pasangan ini dinikahkan oleh abang kandung kepada Uyaina, Mohd Attaful Uzair Arsyad bersaksikan Pendaftar Penikahan Perceraian dan Rujuk Orang Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Perseketuan, Mohd Abd Nasir Abdullah dan dua orang saksi.
Dalam majlis itu, Syahiran atau nama sebenarnya, Syahiran Raja Azhanrianshah, 28, menyerahkan mas kahwin sebentuk cincin dan gelang tangan emas buat Uyaina.
Bagaimanapun, tiada pertukaran dulang hantaran yang dibuat diantara kedua belah pihak dan jumlah wang hantaran tidak didedahkan atas persetujuan kedua belah keluarga.
Pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa ini melahirkan rasa syukur acara akad nikahnya berjalan dengan lancar biarpun pelbagai dugaan yang perlu ditempuh.
“Alhamdulillah… majlis pernikahan kami berjalan dengan lancar pada hari ini. Sebenarnya kami sudah merancang pernikahan ini sejak beberapa bulan lalu namun banyak pertukaran dari segi perancangan majlis.
“Ia berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang cepat berubah dan terkini. Selain itu, kejadian banjir terburuk yang berlaku pada dua hari sebelum nikah turut memberi cabaran kepada kami,” katanya.
Majlis akad nikah mereka dihadiri keluarga dan rakan terdekat sahaja seramai 100 orang dan mereka masih belum merancang untuk melangsungkan majlis resepsi.
Dalam pada itu, pasangan ini memilih Eropah sebagai destinasi bulan madu mereka namun terpaksa menangguhkan hasrat tersebut disebabkan variant baharu Covid-19.
“Jadi buat masa ini, kami bercadang untuk melawat keluarga dan saudara mara yang tidak dapat menghadiri majlis pernikahan untuk memperkenalkan satu sama lain dengan keluarga besar masing-masing,” ujarnya.
Memilih #URS sebagai tanda pagar rasmi walimatulurus mereka, URS adalah akronim *Uyaina Raja Syahiran* dan juga merupakan singkatan bagi perkataan ‘Yours,’ dengan sebutan yang sama.
Selain itu, #HinggaAkhirWaktu juga menjadi tanda pagar pilihan pasangan ini disebabkan oleh lagu yang dicipta oleh Syahiran bersama Uyaina dan dihadiahkan buat Ummi kepada Uyaina, Siti Noor Farah.
Muzik video lagu #HinggaAkhirWaktu ini akan dilancarkan pada Januari nanti.
Pasangan selebriti ini mula berkenalan pada awal 2019 di sebuah program terbitan Astro dan Uyaina menerima rombangan merisik keluarga Syahiran pada Julai tahun lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Sumber: @cstproduction