Nama Exists tidak perlu lagi diperkenalkan lagi dan tentunya deretan lagu popular mereka seperti Jesnita, Julia, Mengintai Dari Tirai Kamar, dan banyak lagi akan terus menjadi halwa telinga pendengar.
Terbaharu, mereka bakal menghangatkan dua negeri di Borneo iaitu Sarawak dan Sabah menerusi Konsert Exists Borneo Tour yang akan berlangsung pada 17 Disember di Sarawak dan seterusnya Sabah pada 30 Disember depan.
Konsert Exists Borneo Tour Sarawak akan dilangsungkan di Borneo Convention Center, Sarawak manakala Sabah International Convention Center menjadi menu persembahan di Sabah.
Pemain keyboard, Ajai, berkongsi keterujaan untuk tampil di dua negeri itu selepas lebih 20 tahun tidak hadir mengadakan konsert berskala besar di sana.
“Lebih 20 tahun kami tak muncul mengadakan persembahan di Borneo. Jadi, kami akan persembahkan lagu-lagu yang boleh dinyanyikan bersama peminat.
“Ada juga lagu-lagu yang tak pernah dimainkan, tapi diminta oleh peminat. Jadi, kami akan persembahkan juga,” katanya.
Tambah Ajai, lagu-lagu mereka juga berjaya menarik perhatian peminat generasi muda.
“Contohnya, di Hausboom sebelum ini. Kami mensasarkan kumpulan pendengar daripada generasi muda. Jadi, kami mainkan lagu-lagu rancak.
“Namun, mereka sebenarnya menunggu untuk kami mainkan lagu berentak perlahan. Jadi, walaupun budak-budak muda ini berpakaian mengikut trend terkini, mereka masih lagi membudayakan muzik Malaysia yang mana, akarnya tetap ke situ juga,” katanya.
Dalam pada itu Ajai menambah, mereka sudah mula menjalani latihan sejak dua minggu lalu.
“Kami dah jalani latihan sejak dua minggu lalu. Satu perkara yang saya boleh katakan mengenai Exists adalah, disiplin yang mana membuatkan kami kekal sebagai band.
“Walaupun masing-masing sibuk dengan kerja dan komitmen masing-masing, tetap ada masa untuk bersatu menjalani latihan,” katanya.
Ditanya mengenai anggota yang akan tampil di konsert itu nanti, Ajai berkata, setiap anggota yang muncul membuat persembahan adalah nyawa kepada kumpulan itu.
“Paling utama, keberadaan barisan anggota inilah yang memberi nyawa kepada Exists. Setiap apa yang dibariskan di barisan hadapan setiap persembahan kami, itulah nyawa Exists.
“Ikatan itu sentiasa ada dan tak pernah ada sebarang pertelingkahan,” katanya lagi sambil diakui anggota Exist lainnya.
Sementara itu Along pula menjelaskan, ketiadaan Mamat kali ini ada sebabnya.
“Kita tak tampilkan barisan ‘line up’ ‘reunion’ kali ini. Jadi, sebab itulah Mamat tak ada bersama kami. Di konsert yang akan berlangsung pada 22 Disember di Kuala Lumpur, Mamat akan ada bersama.
“Peminat pun dah faham situasi di mana, akan ada konsert yang menampilkan Ezad, atau Mamat sahaja. Kami pun tak terikat apa-apa. Boleh jadi ada konsert yang menampilkan salah seorang dan ada yang berdua.
“Kami lihat juga kelapangan jadual mereka untuk tampil di sesuatu acara. Jadi, kami bagi kelonggaran dari aspek itu. Tapi, untuk Konsert Exists Borneo Tour, kalau penganjur ingin tampilkan Mamat bersama, jadi, kami akan tampilkannya,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI