Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro Raqim Ahmad memberikan penjelasan berhubung kejutan lamaran yang telah dilakukan pelakon Kamal Adli buat Uqasha Senrose di Anugerah MeleTop Era 2020 (AME2020), semalam.
Jelasnya, perkara tersebut dibuat hasil perbincangan oleh kedua-dua belah pihak selain restu ahli keluarga masing-masing.
“Saya tidak boleh memberikan komen bagi pihak mereka secara terperinci. Akan tetapi apa yang boleh saya kongsi adalah, kedua-duanya sudah pun berbincang dengan ahli keluarga masing-masing terlebih dahulu.
“Itulah perkara yang paling penting apabila mereka menyatakan hasrat melakukan lamaran tersebut. Paling penting dapatkan dahulu restu ahli keluarga.
“Jadi apabila Kamal bertanya platform sesuai untuk berkongsi tentang hubungan mereka ke arah yang lebih serius dan kami bercadang mengapa tidak di AME yang akan datang, di situ plaftorm yang boleh berkongsi berita itu bersama peminat,” katanya.
Ditanya masa ada kejutan lamaran selebriti popular tersebut akan menjejaskan tumpuan peminat terhadap barisan pemenang tahun ini, Raqim berkata setiap daripada mereka sudah memiliki peminat tersendiri.
“Semua pemenang kali ini mempunyai kekuatan masing-masing memandangkan mereka juga mempunyai kelompok peminat yang sedia kuat.
“Kalau tidak, masakan Siti Nordiana dan Khai Bahar berjaya ungguli trofi masing-masing untuk tahun kedua berturut-turut. Begitu juga dengan Haqiem Rusli yang dilihat masih berjaya mengekalkan popularitinya.
“Jadi saya tidak merasakan tumpuan terhadap barisan pemenang akan tenggelam kerana beberapa kejutan yang berlaku di AME tahun ini.
“Cuma mungkin kepada AME itu sendiri, ia memberi impak yang berlainab untuk tahun ini,” katanya.
Selain kejutan lamaran itu, AME2020 untuk menjadi saksi pertemuan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris dan sutradara, Michael Ang yang masing-masing tampil bersua muka dan memohon maaf secara terbuka berhubung isu panas mereka sebelum ini.
Foto: Astro