Kejutan Rihanna ‘Live’ Di Super Bowl; Nyanyi Barisan Lagu Ikoniknya & Usap Perut Umum Hamil Anak Kedua

Share

Tak sampai setahun melahirkan anak sulung, penyanyi Rihanna mendedahkan dia kini sedang hamil cahaya mata kedua.

Pendedahan itu dibuat Rihanna ketika menjayakan persembahan Half Time Super Bowl Show yang berlangsung di Arizona, Amerika Syarikat pada pagi Isnin.

Mendendangkan lagu-lagu hit seperti We Found Love, Where Have You Been, Diamonds dan Work, Rihanna menunjukkan ‘baby bump’ sambil memperagakan persalinan berwarna merah terang.

Penyanyi kelahiran Barbados itu bersama pasangannya, penyanyi rap A$AP Rocky, 35, menimang cahaya mata pertama pada 13 Mei tahun lalu.

Sehingga ke hari ini, pasangan itu masih belum mendedahkan nama anak lelaki mereka kepada umum.

Berkongsi mengenai persembahannya pada acara sukan terbesar di negara Uncle Sam itu, Rihanna, 35, pada awalnya dia berasa ragu-ragu untuk tampil di pentas tersebut ketika menerima tawaran selepas tiga bulan dia melahirkan anak pertama.

“Super Bowl adalah satu pentas besar. Bagi saya, ia adalah sesuatu yang penting apabila anak saya melihat persembahan ini bila dia dah besar nanti.

“Memilih senarai lagu dalam tempoh 13 minit persembahan adalah sesuatu yang sukar juga buat saya tapi saya rasa pasukan kami berjaya lakukannya,” kata Rihanna.

Selain Rihanna, antara nama besar lain yang pernah diberi peluang menyerikan pentas Super Bowl pada tahun-tahun sebelum ini ialah Madonna, Eminem, The Weeknd, Justin Timberlake, Lady Gaga dan Coldplay.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar