“Kekuatan Sesebuah Drama Bukan Pada Individu,” – ‘Perempuan Itu’ Ditayangkan Juga Februari Ini, Erma Fatima Serah Pada Zul Ariffin Soal Promosi

Share

Selepas hampir setahun diperam berikutan kontroversi adegan ‘panas’, drama bersiri, Perempuan Itu, bakal menemui penonton bermula bulan hadapan.

Menurut penerbitnya, Erma Fatima, drama lakonan Zul Ariffin dan Mimi Lana itu akan ditayangkan di platform penstriman Tonton sebelum disiarkan TV3.

“Insya-Allah, Februari nanti drama bersiri Perempuan Itu akan ditayangkan di Tonton dahulu disusuli TV3.

“Setakat ini, drama itu tidak ada masalah untuk ditayangkan. Cuma babak yang pernah mencetuskan kontroversi itu sudah disunting,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, Erma turut mendedahkan dirinya sudah bersedia untuk menerima apa sahaja respon daripada masyarakat berhubung drama 30 episod itu.

“Saya tidak mampu menutup mulut orang. Selama hidup saya bergelar pelakon dan pengarah, saya sudah lalui semuanya. Sama ada karya saya dihina atau dipuja.

“Apabila drama ini ditayangkan nanti, hanya akan ada dua perkara yang bakal berlaku. Pertama, jika mereka suka, pasti pujian akan diberi.

“Tetapi, jika mereka tidak suka, pasti saya akan terima kecaman yang ‘berbakul-bakul’. Tidak mengapa, saya boleh terima apa sahaja maklum balas yang diberi.

“Saya hanya buat yang terbaik mengikut misi dan matlamat yang saya mahu sampaikan melalui drama tersebut,” kongsinya lagi.

Kakak kepada pelakon Umie Aida itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis perlancaran Mak Cun Mart di Ukay Perdana, Ampang, Selangor pada Jumaat.

Ditanya adakah Zul akan turut terlibat untuk proses mempromosikan drama ini, Erma memberitahu, segalanya terpulang kepada pelakon itu sendiri

“Kekuatan sesebuah drama tidak bergantung kepada seorang individu sahaja tetapi ia melibatkan seluruh team drama tersebut. Kalau sudah ditakdirkan, drama tersebut akan tetap berjaya.

“Andainya Zul tidak mahu mempromosikan atau menolak untuk berkerjasama didalam drama ini, dia juga ada hak sebagai seorang pelakon untuk melakukan perkara tersebut.

“Namun, kalau dia rasa itu tanggungjawab dia sebagai seorang pelakon yang berlakon di dalam karya ini dan juga seperti apa yang telah tertulis di dalam kontrak, saya terbuka menerimanya.

“Selalunya pihak stesen tv akan yang meminta para pelakon untuk mempromosikan sesebuah drama. Bila dah terjadi kontroversi seperi ini, saya melepaskan segala keputusan kepada dia sama ada mahu melakukannya atau tidak,” akhirinya.

Terdahulu, Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Sepang atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada 18 Mac lalu.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 18 Mac, Zul memuat naik babak ghairah dalam drama Perempuan Itu di laman Instagram (IG) miliknya.

Video memperlihatkan Zul mendukung pelakon, Siti Hariesa dari depan dianggap keterlaluan dan tidak sesuai untuk tayangan masyarakat.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf