‘Another level!’, mungkin itu yang boleh diungkapkan apabila jenama pakaian Bulan Bintang dengan kerjasama Menara Kuala Lumpur (KL Tower) menganjurkan pertunjukan fesyen, ‘Bulan Bintang Takes The Sky’ di KL Tower pada Sabtu.
Ia menampilkan koleksi Raya Ready To Wear (RTW) sedondon seisi keluarga yang terdiri daripada 68 rekaan bersama 326 pilihan warna eksklusif dan hadir dengan saiz sehingga 5XL.
Selain himpunan penyanyi popular yang turut menyampai lagu sepanjang pertunjukkan, ‘Bulan Bintang Takes The Sky’ turut menampilkan barisan duta mereka seperti Shukri Yahaya, Sharnaaz Ahmad, Nadhir Nasar, Beto Kusyairy, Hannah Delisha dan Daiyan Trisha.
Mengulas mengenai acara yang mendapat pengiktirafan di Malaysia Book of Records susulan kejayaan menerbangkan dron terbanyak dalam tempoh 10 minit itu, Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi berkata ia impian yang menjadi kenyataan.
“Kami mahu melakukan kelainan yang tidak pernah dibuat dalam sebarang pertunjukan fesyen. Formasi dron ini dibawa khas dari United Kingdom.
“Saya mendapat inspirasi selepas melihat sendiri kehebatan formasi dron tersebut ketika bercuti ke luar negara. Apa yang dapat saya simpulkan, kos melibatkan formasi ini menelan belanja 80 peratus daripada kos keseluruhan,” katanya.
Terdahulu, kos bagi pertunjukan fesyen ini menelan belanja sekitar RM2 juta.
Formasi dron yang diterbangkan juga membawa satu kisah perjalanan Bulan Bintang sejak dari mula jenama ini bertapak.
Berkongsi mengenai pemilihan wajah wakilan pula, Azzim Zahid menambah, barisan selebriti ini mempunyai pengikut berbeza-beza.
“Contohnya Syukri Yahya, Hanna Delisha mereka mempunyai kegilaan pengemar drama tempatan tetapi mempunyai penonton di stesen TV yang berbeza-beza.
“Begitu juga lainnya, Nadhir Nasar ialah antara bintang muda yang sedang baik mencipta nama. Bekerjasama dengan mereka juga mudah dan masing-masing profesional,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.