Pelakon Atiq Azman mengakui keluarga mulai risau apabila dia sekali lagi cedera selepas terjatuh daripada motorsikal yang ditunggungainya, Mac lalu di Bukit Fraser.
Malah, pihak pengurusannya juga turut bimbang dengan situasi berkenaan kerana ia melibatkan soal keselamatan serta komitmennya dalam dunia lakonan.
Bagaimanapun, bintang drama Nur ini sejujurnya sukar meninggalkan minat menunggang motosikal berkuasa tinggi, meski maklum akan risiko yang dihadapinya.
“Itulah keluarga pun bising bila jatuh lagi. Kali ini tulang bahu lari sikit. Ibu bapa saya pun risau. Pengurusan saya pun bimbang malah ramai pihak yang minta saya tinggalkan minat ini,” katanya.
Susulan itu, pihak pengurusan pemilik nama sebenar Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah ini difahamkan telah menambah nilai premium Insuran anggota tubuh bintang berkenaan.
“Ya saya dimaklumkan mengenai perkara itu dan tujuannya bagi perlindungan sekitar berlakunya kemalangan termasuk ketika berlakon.
“Nilainya biarlah saya simpan, sebab ia demi kebaikan bukan nak menunjuk-nunjuk,” katanya yang bakal muncul dengan siri produk penjagaan diri tidak lama lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini .