Meskipun sedang berdepan kemelut rumah tangga bersama bekas isteri, Paula Verhoeven, pelakon dan pengarah Indonesia, Baim Wong tetap kuat dan mengharapkan semua pihak dapat mendoakan yang terbaik buat keluarganya saat ini.
Menurut Baim, dia memilih untuk bersikap lebih tenang dan berdamai dengan takdir yang telah ditetapkan buat dirinya saat ini.
“Doakan sahaja kebaikan buat keluarga saya dan juga Paula. Saya hanya mahukan yang terbaik buat keluarga.
“Kalau sudah jujur dengan apa yang berlaku, insha Allah semuanya baik-baik sahaja.
“Saya hanya berdamai dengan diri sendiri dan salalu ingatkan diri untuk tidak membenci sesiapa. Kalau ada perasaan benci, ia akan hadirkan suasana negatif.
“Secara dasar, kita juga kena kuat. Bila kita sudah jujur, tiada apa yang perlu ditakutkan,” katanya kepada MH.
Baim berkata sedemikian ketika ditemui di acara malam gala filem Lembayung di Tropicana Gardens Mall, Damansara pada Selasa.
Dalam pada itu, Baim yang kini dalam proses perceraian dengan isteri enggan mengendahkan komen-komen negatif yang dilemparkan oleh netizen terhadap dirinya saat ini.
“Ada yang perlu dan tidak perlu dibaca. Saya ini seorang yang sangat sensitif. Kalau baca komen negatif, saya akan mudah terbawa fikiran. Lebih baik tak perlu baca.
“Apapun, saya tidak pernah menyalahkan orang lain dan berdendam dengan orang-orang yang memberikan komen sedemikian. Nanti energi negatif itu akan berbalik kepada kita juga.
“Sejak daripada dahulu, beginilah cara saya. Saya pun tak pernah mengharapkan perkara seperti ini menimpa hidup saya,” katanya lagi.
Ditanya mengenai kenyataan Paula yang menyifatkan dirinya bertuah kerana memiliki suami sebaik Baim, ini reaksi bapa kepada dua orang cahaya mata itu;
“Alhamdulillah, sudah pasti saya sentiasa mahu memberikan yang terbaik buat isteri sendiri ketika berumah tangga.
“Kami masih lagi berhubung seperti biasa menerusi Whatsapp. Sinar untuk kembali bersama? Doakanlah yang baik-baik,” akhirinya.
Bercerita tentang Lembayung yang juga filem seram pertama arahannya, Baim berharap mendapat sambutan hebat di Malaysia.
Lembayung yang bakal ditayangkan bermula 5 Disember depan dibintangi pelakon, Anna Jobling selain bintang popular Indonesia seperti Taskya Namya, Yasamin Jasem, Arya Saloka dan Daffa Wardhana.
Terdahulu, pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 2018 namun Baim memfailkan cerai pada 7 Oktober lalu kerana mendakwa Paula berlaku curang.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Kiano, 3 dan Kenzo yang kini berusia dua tahun.
Sehingga kini, perbicaraan kes perceraian mereka masih berlangsung di Mahkamah Pengadilan Agama Jakarta Selatan, Indonesia.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI