Hiburan

Kembali Diserap Masuk, Qalbun Hadi Cipta Sensasi! Bersaing Rebut Hadiah RM50,000 Pentas Marhaban

Share

Program, Pentas Marhaban terbitan TV AlHijrah menyaksikan kejutan apabila pihak penerbit memutuskan untuk menambah dua lagi slot seterusnya menjadikan empat kumpulan yang bakal beraksi di pentas akhir.

Kumpulan Qalbun Hadi yang kembali diserap masuk mencipta sensasi untuk meraih markah tertinggi sekali gus menjadi satu-satunya kumpulan wanita yang berjaya mara ke peringkat akhir.

Tiga lagi kumpulan yang bakal menjanjikan saingan sengit adalah Al-Maqari’, Al-Muhtadin dan Raudhatul Ashwaq.

Kesemua kumpulan ini telah berjaya mengenepikan empat kumpulan lain diperingkat separuh akhir menerusi tugasan marhaban asli.

Menurut juri tetap, Ustazah Asni Mansor, penjurian pada minggu separuh akhir ini lebih mudah kerana setiap persembahan dinilai melalui keaslian marhaban.

“Saya rasa kali ini lebih mudah untuk diadili. Persembahan pada minggu ini tiada qasidah dan markah dari segi kreativiti juga kurang.

“Permarkahan lebih ‘straight foward’ terhadap penjurian keaslian marhaban dan rawi. Persembahan daripada kumpulan Qalbun Hadi menepati kehendak juri,” katanya.

Ustazah Asni berkata sedemikian ketika ditemui selepas selesai program Pentas Marhaban di Studio TV AlHijrah pada Sabtu

Ditanya mengenai format pusingan akhir, Penerbit Pentas Marhaban, Nurul Ain Mohamed memaklumkan pihak produksi kini masih memikirkan tugasan yang lebih bersesuaian disebabkan penambahan kumpulan.

“Asalnya kita ada pusingan battle tetapi memandangkan kita ada satu sahaja kumpulan wanita, pihak produksi akan memikirkan tugasan yang lebih sesuai.

“Mungkin setiap kumpulan harus mempersembahkan dua tugasan.

Katanya lagi, nilai hadiah juga bakal ditambah bagi dua kategori saguhati.

“Hadiah untuk juara ialah RM50,000 manakala tempat kedua pula bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM25,000.

“Pemenang saguhati bakal menerima hadiah wang tunai bernilai RM5,000 bagi setiap kumpulan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ustazah Azni juga menambah, juara bakal dipilih berasarkan kemampuan mereka menyampaikan persembahan yang paling menyentuh hati.

“Jika anda tanya apa yang para juri cari di pusingan akhir nanti, jawapannya hanyalah ketenangan.

“Penyampaian mereka bersangkutan dengan kisah Rasulullah, maka kita cari persembahan yang mampu menyentuh hati.

“Pesan saya kepada peserta, berlatihlah dengan bijak. Jangan terlalu kuat berlatih hingga hilang suara dan penyampaian tidak terkawal,” katanya lagi.

Terdahulu, Kemuncak Pentas Marhaban bakal disiarkan secara langsung di TV AlHijrah, Sabtu ini jam 9 malam.

Program ini turut dihoskan oleh gandingan pengacara, Tilmiz Fahmi dan Syamsul Ghau Ghau.

Selain Ustazah Azni, program ini turut diadili oleh seorang lagi juri tetap iaitu Ustaz Zulhafiz Gambus.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf