Kemelut Sajat & Mustika, Luah Aliff Syukri ; “Kita Jangan Buka Pekung Keburukan Adik, Kakak Atau Abang.”

Share

Usahawan Datuk Seri Aliff Syukri tampil memberikan pendapat selepas ditanya mengenai kemelut yang berlaku antara Nur Sajat dengan adiknya, Nur Mustika yang kini tular di media sosial.

Enggan menilai siapa yang bersalah atau tidak, Aliff meminta rakan baiknya itu bersama Mustika untuk sama-sama menyelesaikan isu yang tercetus secara matang.

“Saya tak mahu sebelahkan mana-mana pihak, tak mahu juga jadi ‘kepochi’. Dalam kehidupan ini, kita jangan buka pekung keburukan adik, kakak atau abang.

“Macam contoh saya pun ada konflik dengan kakak dan mak saya. Malah saya pun pernah ada masalah dengan adik saya, belum lagi adik beradik tiri.

“Bagi saya hal keluarga, simpanlah untuk diri kita sendiri sebab bila kita buat provikasi atau bercerita, yang malu ialah ahli keluarga sendiri.

“Malah saya yakin, Sajat dan adiknya ialah orang yang baik. Saya tak mahulah beri nasihat lebih sebab saya pun tak cukup baik untuk nasihati orang lain.

“Cuma pesan saya, akhir nanti yang mahu diri kita sendiri, termasuk keluarga. Kalau benda boleh diselesaikan sendiri, selesailah,” katanya kepada MH.

Aliff yang ditemani isteri, Datin Seri Nurshahida berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Butik AS Hijab di Nu Sentral, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Abang Nak Tegur ini menyifatkan apa yang berlaku juga hanya memberi ruang kepada netizen untuk mahu tahu lebih.

“Netizen bukan hakim, mereka nak tengok apa lagi yang terjadi, siapa lagi buruk dan sebagainya. Sebenarnya setiap famili pasti akan ada masalah tersendiri.

“Saya tak malu nak cakap, saya pun ada konflik (dengan ahli keluarga) tapi kalau kita berkongsi dengan orang luar, akan ada di antara mereka yang prejudis.

“Jadi sebaiknya, selesaikan sahaja di antara ahli keluarga,” katanya lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH