Datuk Ramli Ms selaku ketua juri program Gegar Vaganza menyifatkan kekurangan dari segi keharmonian suara di antara dua anggota KOOL, Hairi dan Riot menjadi penyebab duo itu diumumkan sebagai peserta tersingkir pada minggu keempat konsert.
Ramli berkata demikian sebagai mengulas secara terperinci mengenai penyingkiran kumpulan berkenaan dari terus memberikan saingan menerusi program realiti yang sudah memasuki edisi keenam itu.
“Melodi lagu itu sangat senang dan nada suara, kemerduan itu tidak ada dan bila harmoni pun, ia agak bersepah.
“KOOL sendiri tidak mengumpul markah yang cukup untuk berada dalam kelompok ke minggu hadapan. Bukan berpunca dari pasangan duetnya, Farawahida.
“Saya tidak boleh berikan markah yang banyak kepada penyanyi undangan kerana kehadiran mereka ada untuk menyokong persembahan bersama peserta,” katanya kepada MH.
Sementara itu, Hairi dan Riot ketika ditemui sejurus selesai konsert mengakui rasa terkilan apabila KOOL diumumkan sebagai peserta yang mengumpul markah terendah minggu ini.
Sekali gus, ia mengekang perjalanan mereka untuk terus memberikan saingan pada minggu seterusnya.
“Sudah tentu rasa kecewa dan terkilan apabila diumumkan tersingkir dari sebuah pertandingan.
“Apa pun, kami sudah berikan yang terbaik. Kemungkinan lagu dibawa kurang ‘power’.
“Pada awalnya kami memilih dua buah lagu lain iaitu Senja Nan Merah dan Ku Miliki Bayangmu, bagaimanapun ia tidak dapat direalisasikan atas hal tertentu
“Dua lagu pilihan tak dapat nak nyanyikan. Jadi kita terpaksa akur dengan keputusan yang diberikan GV, kita akurlah,” akui mereka.
Dalam perkembangan lain, KOOL merancang untuk melancarkan single lama yang diberi suntikan baru khusus buat peminat.
“Sebelum sertai GV, kami sudah ada perancangan bersama Zizi Kirana, rakam kembali lagu lama KOOL.
“Single tersebut berjudul Ingat yang diberi nafas segar dengan muzik dan vokal baru serta diselitkan dengan rap,” jelas Hairi.
Terdahulu, KOOL yang mempersembahkan lagu Siapa Dia Sebelum Daku nyanyian asal Roy dan Francissca Peter bersama Farawahida mengumpul markah paling rendah iaitu sebanyak 49 peratus.
GV6 disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor.