Kemunculan lima ahli bomba di pentas siri Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire di Plaza Angsana, Johor Bahru minggu lalu mencuri tumpuan ramai pada konsert kemuncak yang berlangsung, Ahad lalu.
Kesemua mereka yang lengkap beruniform muncul sebagai kejutan pada konsert jelajah berkenaan, yang secara kebetulan ketika melakukan satu urusan di lokasi berkenaan.
“Kami kebetulan ada urusan di sini dimaklumkan ada jelajah Suria FM, jadi kami jenguk memandangkan kami semua memang pendengar stesen ini.
“Terima kasih juga kepada Suria kerana banyak bantu salurkan maklumat mengenai bomba terutama mengenai hal penting seperti persediaan banjir dan kesedaran masyarakat mengenai pasukan beruniform,” kata wakil bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Rafiee A Karim.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid berkata Suria FM turut menyambut baik sokongan yang diberikan oleh semua lapisan masyarakat.
“Kami terharu dengan sambutan dan sokongan yang diberikan daripada pelbagai pihak bomba, askar dan polis termasuk pemandu e-hailing yang sentiasa mendengarkan Suria.
“Setiap jelajah yang dianjurkan juga mendapat sambutan baik daripada semua peringkat umur, bangsa dan agama.
“Lebih manis apabila ada juga yang isi masa dengan keluarga dengan menonton Siri Jelajah Suria dan saya difahamkan kali ini, ada nenek yang berkerusi roda pun turut sama-sama menonton,” katanya.
Kira-kira 6,000 pendengar Suria hadir mengisi masa ke Angsana Mall bagi menyaksikan kemeriah siri jelajah meskipun ia diadakan pada hari bekerja negeri berkenaan.
Penampilan penyanyi terkenal, Aina Abdul yang menyampaikan empat buah lagu turut dinantikan peminat apabila penyanyi lagu Terus Hidup itu berada di tengah-tengah untuk menyanyi bersama penonton yang hadir.
“Saya juga dimaklumkan ada yang hadir jauh dari Brunei Darussalam dan Singapura semata-mata untuk jelajah kami di Johor Bharu. Pastinya ia satu penghargaan bagi kami.
“Sambutan hangat juga dapat kita lihat menerusi pertandingan KiraOke Suria hingga ada peserta yang yang sanggup datang naik bas dari Kelantan dan Terengganu untuk sertai,” katanya lagi.
Jelajah Suria Kuasa 2 bakal gegarkan Aeon Mall Nilai, Negeri Sembilan pada 28 dan 29 September ini dengan menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Aisha Retno, Baby Shima, Ruffedge, Ezad Lazim, Masdo dan Danial Kifli
Sementara itu, Pengarah Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa melahirkan rasa gembira kerana sambutan terhadap wangian jualannya mendapat sambutan yang baik.
“Syukur Alhamdulillah kami berjaya mengekalkan jualan mencecah lima angka sama seperti lokasi sebelum ini,” katanya yang turut menghadiahkan tiga utas gelang emas kepada pembeli bertuah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini