Penyanyi, Siti Sarah Raissuddin menyifatkan isu penyanyi yang ‘terkucil’ ketika membuat persembahan lagu adalah sesuatu yang normal dan boleh berlaku kepada mana-mana penyanyi, lebih-lebih lagi secara langsung.
Kata Sarah kepada MH, kemungkinan untuk rasa gementar apabila membuat persembahan secara ‘live’ itu pastinya ada dan baginya, tidak semua penyanyi mampu melontarkan vokal sempurna setiap masa.
“Penyanyi juga manusia biasa. Kemungkinan untuk terjadinya ‘terkucil’, ‘silap masuk’ atau tersalah lirik itu akan ada.
“Malah saya juga pernah lalui situasi berkenaan, bila mana ketika menyanyi secara langsung, ada hal yang tidak diingini berlaku.
“Jadi mahu tidak mahu, kita perlu teruskan juga dan berusaha untuk memperbaiki dan memberikan yang terbaik.
“Saya juga percaya hal sama juga terjadi kepada penyanyi seluruh dunia,” ujarnya.
Penyanyi Semakin itu berkata demikian sebagai mengulas situasi yang dialami Nabila Razali yang ‘terkucil’ ketika mendendangkan single terkininya, di sebuah stesen TV baru-baru ini.
Klip video tersebut dikongsi wargamaya hingga mencetuskan viral dan sekali gus membuatkan penyanyi berkenaan menerima pelbagai reaksi netizen selepas itu.
Simpati atas kritikan yang diterima penyanyi junior terbabit di media sosial, isteri kepada Shuib itu turut mengakui dia rasa sedih kerana ada yang memberikan kritikan secara melampau.
“Saya pelik kerana ramai pula yang menilai kredibiliti seseorang penyanyi itu hanya kerana satu kesilapan. Kita tidak tahu apa situasi yang dilaluinya.
“Adalah lebih baik untuk kita berikan komen membina, tetapi dengan bukan cara menghentam sebab sekurang-kurangnya dia dapat belajar dan perbaiki diri,” jelas Sarah lagi.
Ditanya apakah pesanannya sebagai penyanyi tersebut, Sarah berharap agar Nabila terus kuatkan semangat, teruskan belajar dan bersabar.
“Saya boleh mintanya untuk bersabar dan ya, nasihat itu mungkin nampak seperti ‘klise’. Tetapi itulah perkara yang kita mampu lakukan seadanya.
“Zaman awal saya dan dia cukup berbeza di mana ketika ini semuanya boleh dizahirkan di media sosial sahaja.
“Bagaimanapun kami kini sedang berada pada zaman sama. Saya juga pernah lalui apa yang dia hadapi.
“Kena tenang dan sekiranya dia memerlukan bantuan vokal, adalah lebih baik untuk terus belajar serta jangan pernah putus asa untuk terus menghiburkan peminat,” akhirinya.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI