“Kena Cubalah Cari Walau Hanya Satu Peratus Sisi Yang Baik,” – Dayang Nurfaizah

Share

Penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah yang berpengalaman menjadi juri program nyanyian selain pernah menyertai One in a Million pada 2006 lalu ketika sudah bergelar penyanyi cuba memahami situasi yang dilalui Mas Idayu dan Sissy Imann dalam Famili Duo, Ahad lalu.

Dayang, 41, bagaimanapun berharap agar Sissy mencari sisi yang baik daripada teguran yang diterima seterusnya menjadikan dirinya agar lebih kuat dalam menongkah arus dalam dunia hiburan.

“Sejujurnya saya belum tengok mengenai persembahan yang diperkatakan secara penuh, cumanya video yang ada di media sosial seperti mana yang dimuat naik itu saya maklum. Saya faham kedua-dua pihak.

“Cuma saya berharap Sissy ambil ini sebagai asam garam sebagai seorang penyanyi. Anggap teguran yang diterima sebagai nasihat. Cari sisi yang positif yang harapnya boleh menguatkan dirinya terutamanya daripada segi emosi dan jiwa.

“Saya memahami situasi itu, sebab bila kita di dalam sebuah pertandingan, kita akan jadi ‘rapuh’. Soal teguran berkenaan itu yang nyata. Yang sebaliknya pun banyak juga.

“Kena cubalah cari walau hanya satu peratus sisi yang baik daripada apa yang telah ditegur. InsyaAllah benda ini akan menjadikannya lebih kuat,” katanya kepada MH.

Dayang berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pra-Dengar Belagu II di Liberal Latte, Bukit Damansara pada Khamis.

Berkongsi lanjut, Dayang turut menyifatkan berada di kerusi juri adalah tanggungjawab yang berat terutama pada zaman sekarang kerana bukan berhadapan dengan peserta saja, tetapi reaksi daripada warganet juga.

“Jadi, sekiranya diberi pilihan saya tak berani menggalas tanggungjawab itu. Sesekali itu bolehlah (sebagai juri), tapi ia tanggungjawab yang sangat besar. Tawaran jadi juri memang ada dan yang pernah saya buat adalah Big Stage.

“Cuma mungkin pendekatannya berbeza kerana konsep pertandingan disertai penyanyi muda. Jadi, saya hanya banyak memberi nasihat kepada peserta, ikut cara saya lah,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, soal terasa hati itu boleh hadir kerana peserta yang bertanding biasanya rapuh memandangkan mereka sudah bekerja keras untuk beri persembahan terbaik tiap minggu dengan pelbagai persediaan dan sebahgainya.

“Apapun, dalam setiap kritikan juri itu pastinya ada positif dan sebaliknya. Cuma, kita kena tenangkan diri untuk fikirkannya dan ambillah yang positif saja. Percayalah, di sebalik yang negatif itu pasti ada yang positif kerana teguran itu tanda sayang,” katanya.

Sementara itu, sukses yang diraih Belagu mendorong Dayang untuk meneruskan projek Belagu II yang dibarisi sembilan trak lagu menerusi sentuhan Aubrey Suwito.

“Matlamat utama Belagu dihasilkan adalah untuk memperkenalkan dan merapatkan generasi baharu dengan lagu-lagu klasik Melayu. Demi memastikan objektif ini terlaksana adalah penting untuk kualiti muzik yang dihasilkan seiring dengan kehendak dan selera pendengar hari ini.

“Atas penerimaan Belagu

yang sangat baik, ia kini diterjemahkan menerusi Belagu II yang lebih istimewa kerana berkolaborasi dengan orkestra terkenal dunia, Budapest Scoring Orchestra (BSO). Ia sekaligus membuatkan lagu-lagu klasik yang dihasilkan terdengar dengan bunyi-bunyian yang lebih mewah,” jelasnya.

Belagu II diterbitkan DN & AD Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Komunikasi sementara digital serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Album versi digitalnya sudah berada di semua platform digital bermula hari ini dan salinan cakera padat bersama set eksklusif BELAGU II boleh dimiliki secara pra-tempahan bermula dari 13 Januari 2023.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH