Hasrat penyanyi, Dina Nazir dan Fuad Rahman untuk mara ke konsert akhir Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) nampak tidak kesampaian selepas masing-masing tersingkir di konsert saingan separuh akhir.
Malam tadi, Dina menyampaikan lagu Bukan Dia Tapi Aku nyanyian asal Judika sementara Fuad pula mendendangkan Di Alam Fana Cintamu (Fotograf).
Mereka turut berduet sama menerusi lagu Boneka yang dipopularkan oleh Ernie Zakrie.
Komen yang diberikan oleh juri tetap, Hetty Koes Endang, improvasi berlebihan yang dilakukan Dina ketika membawakan lagu Bukan Dia Tapi Aku telah membuka ruang baginya untuk melakukan banyak kesilapan.
“Lagu ini sangat berat. Soal lirik tiada kesalahan. Kena hati-hati dan tak perlu banyak improvise. Bahaya bila banyak improvise. Kami jelas dengar di sini,” katanya.
Malah, Hetty juga merasakan Dina harus menunjukkan emosi ketika membuat persembahan.
“Walaupun belum live, agak kurang cantik bila persediaan emosi sebegitu. Di belakang panggung sudah harus siapkan emosi. Di rumah mungkin tidak lihat, tapi di sini sudah lihat,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Hetty berpandangan nyanyian Fuad pada malam ini baik dan agak berbeza apabila bintang Singapura itu menyampaikan lagu bergenre balada.
Komen Hetty, Fuad juga telah banyak melakukan kesilapan daripada aspek tone suaranya.
“Cara nyanyiannya pada malam ini sangat berbeza. Kami semua tahu dia memang selesa menyanyi lagu rock. Malam ini kamu menyanyi secara balada.
“Yang bagusnya dia selalu ingat pesan saya. Nyanyiannya juga banyak yang out of tune. Dengar semula nanti. Walaupun kurang sihat tapi tiada alasan untuk tidak berikan yang terbaik,” bagi Hetty.
Dina memperoleh markah sebanyak 59.20 peratus manakala Fuad pula hanya meraih 58.30 peratus.
Dalam peserta telah layak ke peringkat akhir minggu hadapan iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah, Bob Yusof, Tomok, Hazrul Nizam dan VE.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.