“Kena Sentiasa Perbaiki Diri & Menerima Kekurangan Pasangan,” – Pernah Tiada Sefahaman Dengan Suami, Nad Zainal Pilih Tolenrasi

Share

Baru-baru ini, pelakon Nad Zainal dan suami, Muhammad Falid Amiruddin telah diundang sebagai tetamu jemputan di rancangan bual bicara Wanita Hari Ini untuk berkongsi pendapat mengenai topik ‘Pasangan Sekepala’ bersama penonton.

Menerusi perkongsian yang diadakan secara maya itu, Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin mengakui adakalanya tidak bersependapat dengan suaminya dalam sesetengah perkara.

“Macam kami berdua kadang-kadang tidak sekepala dari segi pemilihan aktiviti, kalau macam dia suka aktiviti lasak, suka bercuti dekat dalam hutan, berkhemah, panas-panas tapi saya pula suka tempat yang ada salji sejuk macam dalam ‘mall’ macam tu,

“Walaupun kadang-kadang kami ada juga minat yang sama, contoh kita suka menonton filem, suka mengendalikan kamera dan sebagainya tapi bila nak berkerjasama tu mesti akan ada tidak sefahaman pendapat. Minat yang sama tapi berbebeza idea dan pendapat,” katanya.

Ibu kepada dua orang cahaya mata ini berpendapat adalah sangat penting untuk mendapatkan keserasian dalam rumah tangga dan setiap pasangan perlu ada sefahaman antara satu sama lain.

“Kadang-kadang bila kita tiada sefahaman, kita kena fikir balik tak semua perkara yang kita buat pun dia suka. Jadi kena memberi dan menerima sebab perkahwinan ni bukan dicipta untuk sekejap tapi untuk selama-lamanya,

“Jadi kita kena sentiasa perbaiki diri dan kena menerima kekurangan pasangan kita. Kalau kita sentiasa tiada sefahaman hubungan itu tidak akan kekal lama dan penting untuk ada tolenrasi antara satu sama lain,

“Bagi saya, untuk keharmonian dalam rumah tangga kita kena hormat dan jadi sahabat baik dengan pasangan kita. Kalau boleh kita kena sentiasa jadi diri sendiri dengan pasangan kita, jangan malu-malu sebab masa kahwin lah kita nak kenal antara satu sama lain,” katanya lagi.

Terdahulu, Nad telah mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati, Muhammad Falid Amiruddin pada tanggal 18 Disember 2015.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini telah dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Fahad Ibrahim, 5 tahun dan Budi Kalsom, 5 bulan.

Foto: Instagram Nad Zainal

Published by
Nazar Rafiqhi