Tidak dinafikan, konflik hidup yang sukar ditambah dengan kekangan semasa yang tidak menentu menyebabkan ada sesetengah di antara kita yang memilih untuk melakukan apa sahaja demi mendapatkan wang ringgit, tanpa mengambil kira kesannya.
Membelakangkan soal halal dan haram, kisah nyata ini menjadi inspirasi menerusi filem Petaka yang kini sedang bersiaran secara eksklusif di saluran Astro First.
Mengambil latar keldai dadah sebagai isu utamanya, kisah teladan ini bukanlah satu hal yang boleh dipandang remeh kerana sudah ramai yang terjebak, seterusnya menyesal di kemudian hari kerana menjadi mangsa.
Diterbitkan oleh Arie Zaharie Production Sdn. Bhd dan AA Success Pictures, mereka mengambil pendekatan menghasilkan sebuah filem berat yang mengangkat isu berkenaan, selain diselitkan dengan kisah kekeluargaan yang dekat dengan masyarakat.
Pada masa sama, Petaka disokong oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersempena dengan sambutan Kempen Anti-Dadah yang ke-38 pada 19hb Februari depan.
Apabila menonton filem ini, pasti ramai yang merasakan jalan ceritanya yang dekat di hati. Inilah realiti yang berlaku di dalam kelompok masyarakat kita.
Tontoninya atas aspek nilai pengajaran atau mesej yang ingin disampaikan menerusi Petaka. Jangan mudah terpengaruh dengan janji ‘bulan dan bintang’ hingga terjebak sebagai keldai dadah, ketaatan kepada keluarga selain usaha bersungguh-sungguh untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
Malah, pengorbanan yang dilakukan demi menjaga ibu sakit antara elemen yang perlu ditekankan kerana nilai kasih sayang semakin terhakis dalam sesetengah keluarga.
Secara ringkas, Petaka mengisahkan kemiskinan hidup yang dilalui keluarga Sham, lakonan mantap Azman Ahmad yang kematian ayahnya lalu terpaksa menjaga ibu yang sakit. Sementara adiknya, Syikin (Jaja Illiyes) tidak bersekolah kerana tak cukup duit.
Lalu, Sham menampung keluarga dengan melakukan kerja-kerja kampung bukan sahaja untuk sara keluarga, tapi juga demi menebus rumah pusaka yang sebelum ini terpaksa dilelong kerana kemiskinan.
Bagaimanapun, kedaifan keluarganya apabila Sham menerima tawaran bekerja sebagai pemandu lori barang di kedai perabot Haziq (PU Azman) dan sering ulang alik ke bagi menghantar dan mengambil perabot.
Haziq bekerja di bawah Datuk Jamil dan upah yang diterima cukup lumayan buat seorang pemandu lori.
Meski terdetik tentang upah yang banyak, namun Sham teruskan juga pekerjaan tersebut atas dasar percaya kepada Haziq dan akhirnya Sham dapat menebus semula rumah pusaka.
Bagaimanapun, pekerja Haziq, Ima (Nabila Huda) ada menasihati Sham supaya berhenti daripada pekerjaan itu tanpa mengesyaki apa-apa. Bagaimanapun upah yang diterimanya semakin banyak dan membuatkan Sham mula tertanya-tanya.
Sham terkejut kerana baru sedar selama ini dia menjadi tukang hantar barang terlarang (dadah). Sham tidak tahu yang dia rupanya keldai dadah kepada Datuk Jamil.
Petaka hidup Sham semakin hebat apabila dia gagal menghantar barang Datuk Jamil serta menghilangkannya.
Sejak itu, pelbagai kejutan dan ketegangan mulai timbul atas kejahatan yang dilakukan konco-konco Datuk Jamil yang diketuai Zamri (Zali Shuhali) hingga menyebabkan ibunya turut terbunuh.
Lakonan mantap daripada para pelakon utamanya boleh dipuji. Emosi yang diberikan nyata berbekas.
Paling mencuri tumpuan, ialah karektor Haziq yang didukung PU Azman, sebagai orang kanan kepada pengedar dadah berpengaruh.
Melakonkan watak hitam, ia menjadi antara faktor yang menarik untuk menonton filem Petaka. Siapa sangka, pendakwah bebas sepertinya mampu melakonkan watak jahat?
Sebagai penjenayah, watak PU Azman dilihat berbeza daripada kebiasaan dan tidak klise dengan perwatakannya sebelum ini.
Meski berstatus pendakwah, itu tidak menghalang PU Azman untuk membawakan watak itu dengan baik sehingga geram menonton kejahatannya yang dibuat dalam diam.
Itu belum lagi lakonan hebat Wan Mamimunah sebagai ibu yang menderita sakit kaki. Meski babaknya tidaklah banyak, namun tetap memberikan emosi yang tidak bukan biasa-biasa.
Meninjau ke satu posting menerusi akaun Instagram Petaka, rata-rata peminat tidak sabar untuk menantikan tayangann filem ini. Malah, di ruangan komen, ada yang mengakui ia menarik untuk ditonton.
Filem arahan Azhari Zain ini boleh dilanggan secara terus menerusi Astro First saluran 480 bermula 4 Februari lalu.