Pelakon yang kini bergelar pengarah, Zizan Razak akui dirinya sering kali berdepan dengan individu yang mempunyai persepsi negatif terhadap orang yangberasal daripada negeri Pantai Timur.
Menurut Zizan, pengalaman itu yang menjadi pencetus idea untuk dia mengarahkan telemovie raya yang berjudul ‘Awak Terlalu Ganu Untuk Saya’.
“Kisah ini pernah berlaku di dalam hidup saya beberapa kali. Saya pernah berkenalan dengan beberapa wanita sebelum ini.
“Bila lama berkenalan, barulah mereka berkongsi cerita yang mereka sebenarnya tidak sukakan orang Kelantan atau Terengganu.
“Bila berkenalan dengan saya, barulah mereka tahu orang Pantai Timur ini okay sahaja sebenarnya. Bila ada persepsi itu, saya mula ada idea untuk menulis skrip,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, Zizan turut menyifatkan setiap kesilapan berlaku adalah disebabkan pilihan individu itu sendiri dan tiada kena mengena dengan tempat asal mereka.
“Kalau ada yang kata drama ini sensitif, cubalah tengok dahulu. Saya cuba nak ubah perspektif dan saya nak tahu kenapa mereka setkan otak mereka terhadap orang Pantai Timur sebegini.
“Kenallah dahulu dengan kami. Kami juga manusia dan orang biasa. Janganlah salah negeri.
“Ambil contoh orang yang berlaku curang, jangan salahkan industri pekerjaannya.
Itu adalah kesilapan individu. Mungkin juga orang terdahulu pernah membuat silap atau mereka ada pengalaman hitam.
Katanya lagi, dia menghasil telemovie ini sebagai salah satu usaha untuk mengubah persepsi segelintir pihak terhadap sesuatu negeri.
“Drama ini mewakili semua negeri secara keseluruhan. Ada sesetengah pihak yang tidak sukakan sesuatu negeri itu. Bila drama ini ada kena mengena dengan saya, saya ceritkan kisah saya.
“Bahagian lain drama ini saya adalah olahkan sedikit,” akhirinya.
Terdahulu, telemovie Awak Terlalu Ganu Untuk Saya merupakan karya pertama yang diarahkan oleh Zizan secara solo.
Sebelum ini Zizan pernah bergandingan dengan rakan pelakon, Issey Fazlisham untuk mengarahkan telemovie yang berjudul Heist-Dil Fitri dan Heist-Dil Adha.
Selain turut bergelar pelakon, telemovie ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Riena Diana, Adrina Kamaruddin, Wans Ahmad dan Jiha Shams.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.