Bagi yang pernah menonton filem berjudul Pasrah, sudah pasti mengenali dengan watak hero filem tersebut, Hafsham yang dilakonkan oleh Norman Hakim.
Berkongsi cerita, pelakon tampan berusia 43 tahun ini ada mengimbau kembali kenangan saat digandingkan buat kali pertama bersama dengan primadona alaf baru ini menerusi filem yang diterbitkan lebih 20 tahun itu.
Norman atau nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon mendedahkan, dia pada ketika itu berasa kagum dengan semangat serta komited yang ditonjolkan oleh bintang berkenaan.
“Bila imbau kembali kenangan apabila bergandingan dengan Erra Fazira, saya rasa sangat seronok apabila dapat bergandingan dengannya dalam satu naskhah.
“Pengalaman saya berlakon bersamanya juga sangat mudah dan kami berdua ada keserasian bersama bila di hadapan lensa.
“Selain memiliki bakat yang besar, Erra bagi saya merupakan seorang pelakon yang komited dan kerja kerasnya dalam dunia lakonan boleh dipuji,” katanya.
Norman yang di cungkil bakatnya menerusi Pencarian Hero Remaja juga mengakui sikap kerja yang dimiliki Erra boleh dijadikan panduan buat pelakon baru lainnya.
“Ini antara satu sikap yang saya kagum mengenai Erra dan patut dijadikan contoh kepada pelakon lain juga,” katanya kepada MH.
Terdahulu, Norman menjadi tetamu bagi episod terbaru Media Hiburan Throwback yang dihoskan oleh Radin yang bakal bersiaran hari ini, jam 9 malam di saluran Astro Prima dan Prima HD.
Foto: Instagram Norman Hakim