“Saya Stres Dan Sakit…,” – Susulan Kontroversi Yang Mampu Jejas Reputasi, Kak Ani Anggap Ada Hikmah

Share

Penyanyi popular irama Malaysia, Noraniza Idris akui kontroversi yang melanda dirinya saat ini secara tidak langsung menggangu kelancaran Konsert Malai Solo yang sepatutnya berlangsung Oktober ini.

Konsert tersebut terpaksa ditunda ke satu tarikh yang baru berikutan beberapa isu berbangkit ketika ini.

Jelas Noraniza Idris yang mesra disapa Kak Ani, disebabkan kemelut yang berlaku, kesemua perancangan konsert turut sama terjejas, selain menyebabkan proses penjualan tiket selain imej dan kredibilitinya juga tercalar.

“Ketika saya sedang bersusah payah merancang dan mengadakan persiapan konsert ini, kemudian tular pula mengenai kes saya di sosial media. Ia sedikit sebanyak mengganggu gerak kerja kami yang sudah pun berjalan sebanyak 60 peratus.

“Bila nama saya dikecam hebat, ia secara tidak langsung turut mempengaruhi kepercayaan orang lain terhadap diri saya.

“Sudahlah irama Malaysia ini terkapai-kapai nak naik. Macam mana saya nak mengangkat muzik ini kalau dikecam ramai? Selain imej saya tercalar, penjualan tiket juga terganggu.

“Disebabkan hal ini juga, saya terpaksa memberhentikan promosi Malai Solo serta merta buat sementara waktu,” katanya kepada MH.

Artikel Berkaitan;

Noraniza Idris ‘Dicabar’ Turun Berat 15Kg Demi Konsert, Dapat Ganjaran RM20,000 Jika Misi Berjaya

“Bagi Saya Jika Penyanyi Itu Bagus, Boleh Bawa Sampai Ke Juara Lagu, Rasanya Biarlah Mereka Yang Bertanding,” – Noraniza Idris

Penyanyi yang terkenal dengan jolokan Ratu Irama Malaysia itu berkata sedemikian dalam satu sidang media khas  pada Rabu.

Katanya lagi, kesihatannya juga terjejas apabila dihimpit permasalahan-permasalahan seperti ini

“Disebabkan jadual kerja saya yang ‘back to back’ dan giat berkerja bersama masyarakat, ia membuatkan saya agak letih.

“Kemudian ditambah pula dengan perkara-perkara negatif ini, membuatkan saya stress dan sakit. Keadaan saya memang tak berapa sihat,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Dikir Puteri ini turut memaklumkan penangguhan konsert ini juga bagi untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Selain itu, ketiadaan pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS yang terikat dengan komitmen program Gegar Vaganza 9 (GV9) turut menjadi faktor konsert berkenaan ditangguhkan.

Meskipun agak terkilan, Noraniza tetap percaya segala yang berlaku ini mempunyai hikmah yang telah direncanakan oleh Allah SWT.

“Dengan penangguhan ini, saya boleh membuatkan persiapan dengan lebih rapi dari segi fizikal dan mental. Saya juga tak mahu orang lain yang menjadi pengarah muzik di konsert saya nanti.

“Saya tetap mahukan Datuk Ramli kerana beliau antara orang kuat sewaktu mula-mula saya memasuki bidang ini. Mungkin ini semua adalah hikmahnya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Konsert Malai Solo sepatutnya akan berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober ini dan dikatakan akan menjadi persembahan terakhir Noraniza sebelum bersara.

Sementara itu, Noraniza turut memberitahu, pihak pengurusannya sedang merancang untuk mengadakan konsert berskala kecil terlebih dahulu sebelum berlangsungnga Konsert Malai Solo.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf