“Kenapa Buat Lagu Raya Ikut Mat Salleh?,” – S Atan

Share

Komposer senior, S Atan berpandangan unsur-unsur kemelayuan yang terdapat di dalam penghasilan lagu-lagu raya lama menjadi sebab mengapa karya-karya tersebut masih malar segar dan menjadi pilihan pendengar sehingga hari ini.

Menurut S Atan, meskipun zaman dah berubah, unsur-unsur kemelayuan tersebut tidak akan pernah lapok.

“Saya sebenarnya tak mahu campur kalau bercerita mengenai penghasilan lagu-lagu raya pada zaman sekarang.

“Kenapa lagu-lagu raya lama masih didengari sehingga kini? Walau bagaimana pun penciptaannya, lagu-lagu lama tetap ada unsur kemelayuan.

“Sebagai contoh, lagu raya yang saya cipta buat Datuk Sheila Majid, Hari Mulia, walaupun berentaz jazz tetap ada unsur Melayunya.

“Lagu-lagu seperti Dari Jauh Ku Pohonkan, Indahnya Beraya Di Desa dan Menjelang Hari Raya, masih lagi didengari sehingga hari ini. Walaupun, zaman dah berubah unsur Melayu itu tetap segar,” katanya kepada MH.

S Atan berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu raya terbaru penyanyi lagenda, Datuk Jamal Abdillah yang berjudul Rindu Di Hari Lebaran baru-baru ini.

Katanya lagi, kebanyakan lagu raya masa kini tiada indentiti dan terikut-ikut trend negara barat.

“Maaf kata, lagu-lagu sekarang kebanyakkannya dah hilang kemelayuannya. Banyak terikut-ikut trend barat. Saya rasa perkara ini tak sihat.

“Mungkin ini sahajalah nasihat saya kepada para komposer baru. Kalau nak buat lagu raya, buatlah lagu berunsur kemelayuan.

“Buatlah apa cara sekali pun, unsur kemelayuan jangan ditinggalkan.
Tak perlulah ubah perkara ini.

“Kita orang Melayu. Kenapa nak buat lagu berentak ‘mat salleh’. Kita kena ada jati diri sendiri. Ambil contoh lagu-lagu di Indonesia, mereka ada indentiti lagu sendiri,” ujarnya lagi.

Bercakap mengenai penghasilan lagu Rindu Di Hari Lebaran, S Atan memaklumkan dia dan penulis lirik, Siso sepenuhnya hanya mengikut kehendak Jamal sendiri.

“Kali terakhir saya menghasilkan lagu raya untuk Jamal adalah lagu Salam Aidilfitri. Dia bagitahu jenis-jenis lagu yang dia mahukan. Dia minta lagu berenrak masri sebab lagu Salam Aidilfitri sudah berentak inang.

“Jadi, saya bersama Siso ikutkan sahaja. Terus kami hasilkan lagu yang terbaik dan terciptalah Rindu Di Hari Lebaran,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf