Menjadi seorang selebriti bukan satu perkara mudah, lebih-lebih lagi apabila berdepan atau menerima komen pedas serta kritikan daripada netizen.
Pelakon Amelia Henderson misalnya, dia mengakui dirinya antara yang menerima kecaman dan kritikan netizen, terutamanya menerusi media sosial.
Lalu, bintang berdarah campur India-Scotland itu ada memberi pandangan mengenai perkara berkenaan.
“Saya rasa semua orang akan dapat kecaman, tak kisah lah anda pakai baju apa sekali pun, siapa diri anda, tetap akan terima kecaman atau komen sekeliling.
“Pastinya wujud apa yang anda kongsi di media sosial anda akan dapat kritikan, jadi pada saya kalau macam anda tak suka dengan orang tu, atau tak suka dengan apa yang dia post, anda boleh tekan saja butang unfollow, blocked dan sebagainya”, katanya kepada MH.
Malah, perkara itu juga boleh terjadi terhadapnya.
“Kalau macam anda tak suka dengan saya, jangan lah comment dekat Instagram saya.
“Saya baca semua komen diterima tapi kadang-kadang saya rasa malas nak baca sebab orang yang komen negatif tu bukan dia kenal saya pun.
“Jadi kenapa saya nak kena ambil hati dengan apa yang dikomen sebab dia tak kenal saya?
“Jadi perkara sedemikian tak menganggu dalam hidup saya pun,” jelasnya lagi.
Amelia ditemui di Vogue Lounge, Menara Suezcap, Kuala Lumpur bersempena Anugerah Instafamous 2019, Khamis lalu.
Di acara tahunan itu, bintang berkenaan menerima anugerah khas untuk kategori Anugerah Instafamous Stylista.