Penyanyi, Ernie Zakri mengakui berasa sedikit ralat kerana menangguhkan niatnya untuk berhijab sehinggalah tamat pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-34 yang lalu.

Menurut Ernie, hal tersebut merupakan antara kesilapan dirinya kerana dia lebih mementingkan soal kerja ketika itu.

“Masa AJL haritu, sebenarnya memang dah niat nak pakai tudung tetapi saya lebih memikirkan tentang soal kerja pada masa itu.

“Dan benda itu adalah satu kesilapan saya juga. Sekarang saya terfikir kenapalah saya tak pakai tudung lebih awal. Saya hanya manusia biasa.

“Saya sebenarnya rasa lagi bersyukur yang Allah berjaya buka hati saya. Itu yang harus saya pandang sebagai satu benda yang positif,” katanya jujur.

IKLAN

Bagaimanapun, penyanyi lagu Ku Bersuara itu menambah, dia tidak akan sesekali menoleh ke belakang.

Sebaliknya, bintang ini akan terus beristiqamah dalam menjaga aurat.

“Kalau saya kenang-kenang kenapa tak pakai lebih awal tu saya rasa past is past. Semua orang ada history masing-masing.

“Lepas AJL, masa PKP ni yang meletakkan tanda untuk saya bertudung kerana timbul rasa ketakutan pada saya what if this is the end of the world. Sempat ke aku ni.

“Jadi sedikit sebanyak benda tu mendorong saya untuk lebih berani dan alhamdulillah lepas saya sarung je tidak ada apa-apa kesusahan bagi saya,” jelasnya lagi.

Ernie berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis sidang media Nurflix.tv di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam pada Khamis.

Dalam pada itu, Ernie menjelaskan bahawa dia akan meneruskan kariernya seperti biasa kerana percaya niat yang baik pasti akan dipermudahkan.

“Pada saya Allah tu penyayang, Dia tidak akan suruh kita berhenti cari rezeki tapi of course la dengan cara dan haluan yang betul. Benda ni sangat subjektif.

“Ada juga yang mengatakan yang sepatutnya kita ni tak boleh menyanyi tapi pada saya asalkan niat yang pertama tu betul yang you nak cari rezeki yang halal, InsyaAllah akan dipermudahkan,” katanya lagi.