“Kepada Yang Katakan Filem Saya Kali Ini Sampah & Lemah, Juga Saya Terima Dengan Berlapang Dada,” – Syamsul Yusof

Share

Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof berterima kasih kepada semua penonton di Malaysia, Singapura dan Brunei apabila filem epik berkenaan kini berjaya mencatat kutipan RM80 juta setakat ini.

Menurut Syamsul, sudah tiba masanya industri filem tanah air untuk bangkit.

“Kepada yang memberi komen positif untuk filem saya, syukur dan terima kasih. Saya amat terharu dan hargai anda.

“Kepada yang katakan filem saya kali ini sampah dan lemah, juga saya terima dengan berlapang dada, kerana ‘there’s no such thing as perfect film’ (tidak ada filem yang sempurna),” katanya, memetik Harian Metro.

Dia pada masa sama optimis untuk terus fokus dan cuba membawa industri perfileman Malaysia ke peringkat tertinggi sebaik mungkin.

“Insya-Allah, saya akan terus fokus dan sedaya upaya membawa industri filem Malaysia ke satu peringkat yang lebih baik walaupun terlalu banyak kelemahan dalam industri filem Malaysia.

‘Kelemahan’ inilah yang sudah membunuh industri dan pengkarya filem.

“Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), orang filem dan kerajaan ayuhlah bangkit baiki kelemahan industri filem. Ayuh ikhlas dalam perjuangan ini,” katanya lagi.

Ditanya jangkaan filem itu mampu mencecah kutipan RM100 juta menjelang akhir bulan ini, Syamsul berkata, dia mensasarkan RM90 juta.

“RM100 juta itu terlalu tinggi, saya tak yakin tapi kalau RM90 juta mungkin. Itu pun tengok keadaan dan momentum filem ini macam mana. Filem ini pun dah agak lama dan lebih tiga minggu.

“Soal jumlah kutipan ini biar dulu, apa saya nak tekankan di sini adalah industri filem kita perlu bangkit,” katanya terhadap progres naskhah terbitan Kembara Studio itu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH