Pelakon dan pelawak, Datuk Afdlin Shauki mendedahkan dirinya kini sudah tidak mahu terlalu terbuka atau lantang di platform media sosial.
Sebaliknya, dia hanya mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap soal kerja dan karier seninya sahaja.
Menurut Afdlin, semakin meningkat usia, semakin dia sedar bahawa kata-kata seseorang itu boleh memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan seseorang.
“Mungkin ramai yang perasan yang abang dah kurang posting yang berbentuk komentari sosial dan politik sekarang dan mungkin ramai yang tertanya kenapa.
“Jawapannya mudah saja, di usia abang sekarang dan selepas pemergian ibu, ayah dan adik abang dalam masa yang sangat terdekat.
“Ada satu insiden yang bermain di minda. Kerana berpemikiran positif yang bonda akan selamat dari pembedahan jantung yang di katakan rutin, abang tak sempat nak memohon maaf daripadanya sebelum beliau memasuki bilik bedah.
“Dan semua tahu yang ibu abang telah pergi selepas pembedahan itu. Jadi realisasi paling besar bagi abang adalah kadang-kadang kita ni lupa yang Allah SWT sudah set ajal kita dan bila tiba masanya, positive macam mana minda kita pun takkan mengubah anything,” tulisnya.
Kenyataan tersebut dikongsikan bapa kepada tiga orang cahaya mata itu menerusi akaun Instagram.
Dalam pada itu, Afdlin juga dilihat ada membuat permohonan maaf kepada sesiapa sahaja yang pernah tersinggung dengan kata-katanya sebelum ini.
“So abang nak mintak maaf kepada sesiapa yang pernah rasa sakit hati atau rasa dirinya di salahi abang. Apa yang abang buat sekarang adalah lebih kepada action more than words. Nak buat baik kita buat ajalah.
“Social media ni adalah platform paling mudah kita membuat dosa jika kita mengeluarkan pendapat dalam keadaan marah atau terfitnah orang berdasarkan informasi tak tepat.
“Jadi korang akan tengok kerja abang saja di social media dan pekara perkara happy dan personal abg sahaja,” jelasnya lagi.
Sementara itu, pelakon filem, Buli itu turut mendedahkan dia telah memaafkan semua pihak yang pernah memfitnahnya sebelum ini.
“Kepada yang mengata atau memfitnah abang, abang maafkan semuanya. Sekali lagi kita takkan tahu semua fakta yang sebenar, kecuali kita nampak dengan mata kepala sendiri jadi kita sangka baik saja semua benda yang tengah kecoh dekat social media macam kes kawan-kawan kita yang berada dalam kesusahan.
“Jom kita buat media social ni tempat yang kita dapat ilmu dan berhibur secara baik. Diam tak bermakna lemah. Kekuatan datang dari kesabaran dan undang-undang Allah dan kehakiman di dunia,” katanya lagi.
Sumber: Instagram Datuk Afdlin Shauki