Vokalis kumpulan Floor88, Ayie atau nama sebenarnya, Nik Fadlee Elhamshah ada menjelaskan mengenai status kesihatannya yang terkini selepas dirakam rebah ketika sedang membuat persembahan pentas di Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Maklumnya seperti yang dipetik menerusi Instagram era.je, kepalanya sudah rasa sakit-sakit sebelum menjelang malam persembahan.

“Semakin stabil alhamdulillah. Saya punya sakit semalam tak teruk sangat sebab pitam sekejap sahaja. Kemudian saya telah kembali stabil, terima kasih yang mendoakan kesihatan saya dan doakan suara saya kembali pulih.

“Sebelum buat persembahan, kepala saya sudah sakit. Pada hari kejadian itu, kami dari Kuala Lumpur ke lokasi persembahan dan bila sampai kami ada lakukan sound check. Ketika itu saya punya rasa tak yakin itu sudah ada, malam nanti tak berkeyakinan untuk buat persembahan.

“Ahli kumpulan lain minta saya berdoa dan banyakkan minum air. Apabila malam persembahan, kepala saya tiba-tiba jadi sakit dan suara saya pun agak serak sedikit. Bila persembahan, saya cuba untuk ‘push’, dengan keadaan sekeliling. Bila saya ‘push’ terlalu banyak, ia menyebabkan saya rebah.

“Tak pengsan cuma pitam sekejap, alhamdulillah ia kembali stabil… Tak lama pun masa tu, sekejap sahaja,” katanya.

Terdahulu memetik Awani, pengurus band berkenaan, Luqman Hakim seperti yang dipetik berkata, bintang muda itu berada dalam keadaan stabil dan tiada sebarang perkara yang membimbangkan terjadi pada artis berkenaan susulan insiden itu.

Tambahnya lagi, sebaik rebah dan pengsan ketika menyampaikan lagu kedua, Ayie diberi bantuan dan ditenangkan oleh anggota Floor88 yang lain serta penganjur persembahan. Insiden itu berlaku kerana Ayie alami keletihan.

Selain Ayie, Floor88 turut dianggotai oleh Achoi, Falique, Eric Fuzi, Akram dan Amir.

Foto: Instagram Era.Je