Kepelbagaian Sambal Termasuk Air Tangan Selebriti; TOSFE Sasar Adakan Siri Jelajah Ke Seluruh Negara

Share

Pesta Cita Rasa Sambal (TOSFE) yang berlangsung pada 10 hingga 12 Mac lalu berjaya mencapai objektifnya ingin mengetengahkan kepelbagaian sambal yang terdapat di Malaysia kepada umum.

TOSFE turut dimeriahkan dengan jualan sambal daripada beberapa selebriti tempatan seperti produk cili daripada penyanyi Ayu Damit, Sambal Mak Jenny yang merupakan resipi tradisi ibu penyanyi Nubhan, Sambal Mak Esah yang diusahakan penyampai radio, Sharifah Shahirah serta donut sambal hasil air tangan pelakon Aida Aris.

Selaku penganjur, Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital (PSWAD), Azmi Jaffry berkata pihaknya berbesar hati apabila usaha mengangkat keunikan sajian penting masyarakat negara ini sebagai produk pelancongan meraih sokongan luar biasa pelbagai pihak termasuk MOTAC.

Katanya, misi bersama rakan strategik nahu membawa TOSFE menjelajah ke seluruh negara bakal menjadi kenyataan apabila sebagai permulaan negeri Sabah akan menjadi destinasi pertama jelajah ini.

“Melihat sokongan ramai sejak pesta ini dibuka semalam membuatkan kami yakin misi mengangkat variasi sambal selaku ‘hero’ hidangan harian di setiap rumah selaku produk pelancongan mencapai matlamat.

“Kepentingan makanan yang menjadi antara asas kepada kehadiran pelancong ke sesebuah destinasi, tidak kira pengunjung domestik mahu pun masyarakat negara luar inilah membuatkan ia sangat istimewa.

“Selain menyemarakkan misi pelancongan dan berkongsi keunikan lebih 100 jenis sambal pilihan rakyat Malaysia serta negara jiran, hakikatnya TOSFE juga merapatkan hubungan sesama masyarakat menerusi perkongsian cita rasa.

“Menyedari hakikat itu, pihak kami berbesar hati mengadakan fiesta sama di beberapa destinasi lain selepas ini dengan Sabah sebagai permulaan dan jika agensi mahu pun syarikat korporat membawakan TOSFE ke negeri lain, ia sangat dialu-alukan,” katanya.

TOSFE dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan pada Sabtu.

Menurut Khairul, inisiatif penganjuran TOSFE sejajar dengan objektif kementerian mempromosikan keunikan seni, budaya dan warisan Malaysia serta produk pelancongan sebagai pemangkin utama pertumbuhan sektor pelancongan dan kebudayaan negara.

“Ia menjadi tanggungjawab semua pihak untuk terus memperkenalkan sambal Malaysia kepada pihak luar, khususnya pelancong, manakala dalam konteks warisan budaya, saya bangga sambal telah diiktiraf dan tersenarai dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005.

“Malah pengisian aktiviti menarik seperti perkongsian ilmu keusahawanan, demo masakan, bual bicara dan aneka program lain sepanjang penganjuran TOSFE memeriahkan lagi acara ini,” katanya.

Acara selama tiga hari itu dimeriahkan dengan lebih 50 pengusaha makanan berasaskan sambal termasuk dari negara Asia seperti Indonesia, Vietnam, Korea, Thailand dan Pakistan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar