Mengejutkan ramai pihak selepas memadam semua gambar dan menukar profil gelap di Instagram, penyanyi terkenal Indonesia, Judika menjelaskan perkara tersebut merupakan gimik bagi mengumumkan konsert jelajah asianya.
Bagaimanapun, Judika mendedahkan gimik tersebut sedikit berlebihan dan ada perkara yang telah dilakukan tanpa dijelaskan kepadanya terlebih dahulu.
“Memang ramai yang bertanya. Bukan sahaja kawan-kawan tetapi juga menteri. Mereka memikirkan saya akan mengundurkan diri daripada dunia muzik.
“Jujurnya saya tidak pernah melakukan konsep seperti ini dan ia telah dirancang pihak pengurusan. Perancangan ini dibuat bagi memastikan konsert pertama saya di Malaysia dan konsert jelajah Asia akan sampai ke pengetahuan peminat.
“Mereka cadangkan untuk gelapkan profil Instagram dan memadam segala gambar. Saya sebenarnya tak biasa dengan perkara seperti ni. Jadi, saya setuju sahaja.
“Ketika hari kejadian, saya juga terkejut kerana rupa-rupanya posting tersebut turut disertakan dengan kapsyen seolah-olah saya akan pergi dan buat netizen berfikir yang bukan-bukan,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Rayuan Gombal itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Rockmantic Night Judika & The Gang yang berlangsung di Pavilion, Kuala Lumpur pada Isnin.
Jelas Judika lagi, dia sebenarnya terharu melihat respon rakan-rakan artis dan peminat yang sayang dan risau terhadap dirinya ketika itu.
“Disebabkan kejadian ini, rakan-rakan artis seperti Ari Lasso dan Anang terus mencari saya. Malah, saya sempat matikan telefon untuk beberapa jam kerana tak sangka resonnya akan menjadi sebegitu.
“Saya sempat memarahi pihak pengurusan kerana konsep ini tidak menggambarkan diri saya. Dari sisi lain pula, saya sangat terkejut melihat ramai yang menyayangi saya. Saya jadi terharu.
“Saya ini seorang yang tak peduli hal lain selain kerjaya muzik. Saya cuma mahu berkarya dan tidak memikirkan tentang sensasi. Orang suka atau tidak, saya tak kisah.
“Rupanya cinta mereka ini sangat dalam. Ada menangis dan ada juga berfikir terlalu jauh,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai respon segelintir pihak yang kurang senang dengan gimik promosinya itu, Judika berharap ia dapat dilihat dari sudut positif.
“Kalau mereka benar-benar peminat, mesti mereka nampak tujuan saya ini. Saya ingin berikan sesuatu yang istimewa buat mereka. Jangan melihat daripada sudut negatif.
“Bila nampak saya okay, mereka sepatutnya gembira daripada terus memikirkan perkara yang tak baik.
“Saya pun dah bercakap kepada pihak pengurusan, selepas ini, kalau ada perancangan apa-apa, tolong jelaskan perkara yang sebenar,” akhirinya.
Terdahulu, Konsert Rockmantic Night Judika & The Gang bakal berlangsung di Axiata Arena pada 21 Oktober depan.
Malah, Judika turut mengundang penyanyi Marsha Milan, Shila Amzah dan Haqiem Rusli untuk berkolaborasi dengannya di konsert itu nanti.
Tiket dijual bermula pada harga RM188 (Silver), RM248 (Rockzone Standing), RM299 (Gold), RM348 (VIP Rockzone Standing), RM388 (Platinum) dan RM799 (VIP).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI