Kerap Kongsi Fasal Arwah Siti Sarah, Shuib Nafi Tak Jaga Hati Isteri

Share

Pelakon dan pelawak, Shuib menafikan tanggapan segelintir pihak yang mengatakan dirinya tidak menjaga hati isteri, Watie Hanifiah kerana sering berkongsi mengenai isteri pertamanya yang juga merupakan penyanyi terkenal, Allahyarham Siti Sarah.

Menurut Shuib, dia menyifatkan dirinya sebagai suami yang sangat bertuah kerana dikurniakan seorang isteri yang sangat memahami keadaannya itu.

“Ketika awal perhubungan, saya ada bertanya juga dan minta kebenaran daripada Watie untuk memuat naik sebarang hantaran mengenai arwah Siti Sarah.

“Dia pula cakap, kenapa saya perlu tanya? Kongsi sahajalah sebab dia tak kisah. Untuk menjawab kenapa saya memilih Watie sebagai teman hidup, salah satunya adalah disebab penerimaan dia terhadap keadaan saya ini.

“Orang lain mungkin tak nampak tapi saya sudah melihat perkara ini sejak awal lagi dan memang saya sifatkan Watie ditakdirkan untuk saya. Susah untuk saya cari wanita seperti ini.

“Allah ini maha hebat. Dia ambil orang yang saya sayang dan gantikan dengan orang yang boleh faham saya,” katanya kepada MH.

Bekas anggota kumpulan lawak Sepahtu itu berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media tergempar yang diadakan di Kafe Bubblebee, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur pada Khamis.

Jelas Shuib lagi, dia dan Watie juga kerap datang ke kubur untuk sama-sama menziarahi pusara Siti Sarah.

“Setiap minggu, saya akan beberapa kali menziarahi kubur arwah kerana sangat dekat dengan pejabat Suria FM. Bila Watie telefon, tanya saya di mana dan tahu saya di kubur, dia okay dan tak akan kacau.

“Ya Allah, seronok betul hidup saya ini. Saya pernah lalui saat yang sangat sedih tapi Allah gantikan dengan seseorang yang sangat okay untuk menerima keadaan saya.

“Daripada dahulu, Watie pernah cakap, dia hadir dalam hidup saya untuk menghilangkan kesedihan. Jadi, bila dah kahwin, dia tak mahu jadi beban.

“Dia juga kerap ke kubur tapi saya tak tunjuk. Tiada istilah saya tak jaga hati isteri. Sebaliknya, kalau dah lama saya tak cakap fasal Siti Sarah, dia yang pelik. Dia memang orang yang tepat untuk saya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Shuib turut memaklumkan yang isterinya itu dapat menerima kenyataan yang arwah Siti Sarah akan sentiasa berada di tempat istimewa di dalam hatinya sampai bila-bila.

“Kalau saya sedih atau rindukan arwah, dialah tempat saya mengadu. Sebab itu saya sifatkan dia sangat istimewa. Penerimaan dia sangat luar biasa.

“Saya ada bagitahu Watie, Sarah ini akan ada di dalam hidup saya sampai bila-bila. Watie setuju dengan perkara tersebut. Malah dia pula kata, saya tak perlu hilangkan perasaan itu kerana ia akan sentiasa kekal sampai bila-bila.

“Watie bagitahu saya, dia masuk dalam keluarga saya untuk bahagiakan semua orang. Saya pula jadi takut dengan apa ujian berpasangan yang akan saya lalui pada masa hadapan,” akhirinya.

Sekadar informasi, pelawak asal Johor Bahru itu mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 2011.

Bagaimanapun, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan COVID-19 pada 9 Ogos 2021.

Mereka dikurniakan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.

Pada tanggal 23 Jun lalu, Shuib telah selamat mendirikan rumah tangga bersama cinta hatinya, Watie dengan hanya sekali lafaz.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf