“Untuk penjelasan itu, biarlah saya simpan hal peribadi saya. Saya berterima kasih sangat kalau perkara itu difahami.”
Demikian respon pelakon, Rusli Ramli bila ditanya mengenai spekulasi rumah tangga yang dibina bersama komposer Sharon Paul yang dikhabarkan sedang bergolak.
Menurut Rusdi, walaupun ramai menganggap selebriti adalah milik masyarakat, namun, dia tidak pernah berpegang dengan norma tersebut.
“Kalau dulu, kita ini sering kali ditanam bahawa artis ini adalah hak masyarakat. Namun, sejak awal kemunculan saya di dalam industri, saya tidak pernah percaya dan berpegang kepada perkara itu.
“Pada saya, bagi setiap pelakon atau artis, hanya kerja-kerja mereka sahaja yang menjadi hak masyarakat.
“Namun, hal peribadi tetap milik artis itu sendiri. Tidak adil la kalau kami tiada privasi. Kami pun manusia biasa juga,” katanya kepada MH.
Anak kepada pelakon veteran Norlia Ghani itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana drama Framed, baru-baru ini.
Katanya lagi, hal peribadi tidak sepatutnya dicampurkan dalam kerjaya seseorang anak seni.
“Ambil sahaja contoh dalam bidang lain seperti arkitek. Jika bangunan yang mereka bina itu runtuh, mana ada orang tanya ‘Siapa bini dia? Sebab itulah bangunan ini runtuh’.
“Tak pernah orang tanya sebegitu. Jadi, kenapa tak buat kami begitu juga? Kalau kerja kami buruk, hentam sahajalah. Kalau hal peribadi, biarlah kami yang punya.
“Kalau tidak, tiada apa lagi yang kami punya,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Rusdi menghormati pilihan dan keputusan setiap individu yang selesa untuk menghebahkan mengenai kehidupan peribadi dan rumah tangga mereka.
“Saya percaya, bila kita terlalu terbuka sampai hal peribadi pun nak diceritakan kepada umum, akhirnya nanti, ia bukan sahaja tak menguntungkan tapi akan memudaratkan banyak pihak.
Kenapa kita nak buat perkara seperti itu sedangkan kita boleh elak? Bagi sesetengah orang, mereka tidak kisah. Mungkin mereka suka kisah mereka keluar hari-hari.
“Pada saya, lebih baik saya diam daripada bercerita perkara yang tiada. Saya datang hari ini pun hanya sebab promosi drama. Kalau ada temu ramah pun, ia melibatkan hal kerja,” katanya lagi.
Terbaru, Rusdi membintangi drama bersiri Framed arahan Sein Qudsi yang turut menampilkan lakonan Meerqeen, Mimi Lana, Sangeeta Krishnasamy, Riz Amin, Khir Rahman dan ramai lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.