Kes Perbicaraan Neelofa & Suami Ditunda Ke 15 Julai 2021 Kerana…

Share

Pengurusan membabitkan kes selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atau sinonim digelar PU Riz yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), ditunda kepada 15 Julai ini, lapor Harian Metro pada Jumaat.

Peguam M Haresh yang mewakili pasangan terbabit berkata, kes itu sepatutnya disebut semula pada 23 Jun ini tetapi ditangguhkan sekali lagi oleh pihak mahkamah disebabkan tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Pihak Mahkamah menangguhkan tarikh pengurusan kes ini (sebutan semula kes Neelofa dan suami) pada 15 Julai depan selepas kerajaan melanjutkan tempoh PKP 3.0,” katanya dihubungi hari ini.

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual permaidani di pusat perniagaan Nilai 3 dekat sini, 2 Mei lalu.

Mereka berdepan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada jam 4 petang, 2 Mei lalu.

Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh yang sama.

Sumber : Harian Metro

Published by
MH