Berita

Kes Siti Nordiana & 5 Sekawan Dah Selesai Tapi Lan Solo, Isteri & Syura Buat Sidang Media? Ini Jelas Peguam

Share

Peguam yang mewakili penyanyi Lan Solo, isterinya Sheila Razlan dan Syura Badron, Alan Razak menegaskan tujuan sidang media khas diadakan selepas prosiding akhir mahkamah pada Selasa adalah untuk menamatkan sebarang spekulasi tidak jelas berkenaan kes membabitkan Siti Nordiana.

Alan dari firma guaman Tetuan Azlan Razak & Associates memberitahu ketiga-tiga anak guamnya menerima komen berbaur fitnah sejak awal kes dibuka di mahkamah.

“Saya ada bincang dengan anak-anak guam saya dan mereka memberi mandat untuk menjawab mengenai sebab sidang media ini perlu diadakan.

“Sebenarnya keperluan untuk mengadakan sidang media hari ini saya nak maklumkan, ini bukanlah sesi pihak A memburukkan pihak B atau sebaliknya, bukan juga kes dah selesai boleh sambung bercakap antara satu sama lain, tidak.

“Ini sebenarnya adalah untuk memperbetulkan persepsi masyarakat dan peminat terhadap tiga anak guam saya.

“Sebagai peguam saya perhatikan sewaktu kes bermula sejak di mahkamah rendah lagi, terdapat macam-macam kenyataan berbaur cacian, makian dan tidak sedap didengar diberikan dan bersambung hingga ke mahkamah tinggi.

“Malah hingga sekarang saya percaya walaupun kes ini sudah diselesaikan, masih lagi kita tengok ada kata-kata sedemikian dilemparkan,” katanya ketika ditemui di kediaman Lan Solo di Puchong, Selangor pada Rabu.

Mewakili tiga anak guamnya, Alan memohon agar tiada lagi sebarang bentuk spekulasi lanjut berhubung kes berkaitan.

“Jadi saya ingin menjelaskan sekali lagi, ini bukan bercakap buruk atau mengkritik mana-mana individu sebaliknya memperbetulkan persepsi awam terhadap kes ini selama lebih dua tahun ia berlangsung.

“Keperluan pada hari ini adalah ingin memberitahu secara menyeluruh apa sebenarnya yang berlaku selain apa fakta-fakta yang mungkin terlepas pandang oleh pihak yang tidak berpeluang untuk bersama-sama dengan kami di mahkamah.

“Kami juga ingin memberitahu kepada semua apabila kes sudah selesai, tidak perlu lagilah ditimbulkan sebarang spekulasi, apatah lagi kenyataan tidak enak diberikan kepada anak guam saya,” ujarnya.

Semalam, Siti Nordiana bersetuju menyelesaikan secara baik kes fitnah sebanyak RM2.5 juta yang difailkan terhadap lima individu termasuk dua rakannya, Lan Solo dan Syura Badron.

Terdahulu, dalam pernyataan tuntutannya, Nana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung dikendalikan Nur Sheila yang disertai empat defendan lain menyiar, mengeluar dan menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Peserta All Stars Gegar Vaganza (ASGV) itu mendakwa, fitnah itu membawa maksud antaranya dia bukan artis yang bersih dan dihormati, ego, tidak mendengar nasihat dalam segala perkara dan menggunakan wang serta populariti bagi memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi Cinta Hanya Sandaran itu turut mendakwa kelima-lima defendan memadam siaran langsung daripada akaun IG masing-masing, namun ia tular dan dimuat naik semula ke laman YouTube dan masih boleh ditonton orang ramai.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH