“Kesabaran Saya Ada Limit,” – Siti Sarah Beri 48 jam Kepada ‘Scammer’ Atau Berdepan Tindakan Undang-Undang!

Share

Penyanyi dan usahawan, Siti Sarah beri tempoh 48 jam kepada seorang wanita dalam lingkungan 30-an yang mendakwa dirinya sebagai dropship perniagaan yang diusahakan penyanyi itu untuk membuat permohonan maaf secara terbuka selepas didakwa menipu orang ramai.

Semalam satu laporan polis dibuat di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor yang diwakili pegawai pemasaran Loveta Sdn Bhd susulan menerima beberapa mesej peribadi daripada pelanggan di Instagram rasmi LovetaHQ yang masih belum menerima produk dibeli daripada individu yang mendakwa sebagai dropship kepada syarikat miliknya itu.

Sarah berkata, dia terkilan dan marah apabila ada pihak sanggup mencemarkan nama baiknya dan melakukan perkara seperti itu.

“Ketika diberitahu oleh salah seorang pekerja mengenai kejadian yang berlaku ini, saya terus memintanya untuk membuat laporan polis. Bagi saya, apa yang dilakukan wanita ini adalah satu kesalahan yang besar kerana telah memburukkan nama baik saya.

“Wanita ini dikatakan cuba berdolak-dalik dengan pelanggan yang sudah membeli produk saya sedangkan pihak kami tidak menerima sebarang pesanan daripada dropship ini. Saya ingin tegaskan dia bukan dropship kami.

“Setakat ini saya sudah menerima hampir empat pelanggan yang tampil mendakwa belum menerima produk yang dibeli daripada wanita ini.

“Justeru saya memberi masa selama 48 jam untuk wanita ini selesaikan masalah yang dilakukan dan perlu membayar segala kerugian yang ditanggung oleh pelanggan atau tindakan lebih keras akan diambil. Pihak saya ada cuba menghubunginya selepas laporan polis dibuat tapi belum ada sebarang maklum balas,” katanya dalam satu sidang media tergempar yang diadakan secara virtual, sebentar tadi.

Menurut Sarah, dia tidak menyangka apabila niat baiknya untuk membantu orang di luar sana menjana pendapatan tambahan bertukar menjadi satu platform untuk melakukan penipuan atau ‘scammer’.

“Saya usahakan perniagaan Loveta dan Ratasya ini adalah untuk membantu orang di luar sana menjadi dropship atau ejen saya. Saya sanggup keluarkan duit sendiri semata-mata nak ubah nasib mereka tanpa perlu keluar modal yang besar.

“Saya tekad menjalankan perniagaan ini kerana ada permintaan serta nak kongsi rezeki. Saya tak pernah terlintas yang orang akan gunakan saya untuk jadi ‘scammer’.

“Kesabaran saya ada limit. Melihat keadaan sekarang ini ramai yang susah nak makan dan cari duit, tiba-tiba terima berita ada individu yang tergamak menggunakan perniagaan saya untuk menipu orang lain.

“Selama ini orang fitnah saya macam-macam saya diamkan diri tapi tak sangka ia seolah-olah memberi keseronokan kepada orang. Sudah tiba masanya untuk saya lebih tegas kerana saya buat perniagaan ini bukan untuk aniaya orang tapi nak tolong mereka yang benar-benar nak ubah nasib hidup,” katanya.

Dalam masa sama, Sarah menganggap apa yang berlaku ini sebagai satu ujian namun kali ini tidak akan berdiam diri.

“Selagi hidup kita tidak akan terlepas daripada perkara buruk, tapi belum sampai tahap tertekan dengan apa yang berlaku.

“Cuma saya sangat sedih dalam keadaan sekarang perkara ini terjadi. Saya rasa orang sekarang tidak semampu sebelum pandemik Covid-19. Bila ada orang yang sanggup membeli, kita jangan aniaya mereka.

Media Hiburan sedang menganjurkan pertandingan menarik bersempena dengan MCO 3.0 ini, siapa tahu rezeki akan jadi milik anda.

Pertandingan nyanyian ‘Karok Lockdown’ khas buat anda yang mahu ketengahkan bakat menyanyi, kalau bertuah ganjaran wang tunai menanti!

Apa yang anda perlu buat? Klik saja link DI SINI untuk mendaftar sekarang. Mana tau korang pemenang yang kami cari, all the best!

Published by
Rafiq Mazlan