Hiburan

“Ketika Bekerja Sebagai Penebar Roti Canai, Saya Nampak Iklan…,” – Tuah Farhan Mustapha, Sedia Harum Nama Negara Ke Pentas Gimme The Mic Global

Share

Juara program Gimme The Mic Malaysia 2024, Farhan Mustapha bakal membuat persiapan rapi menjelang saingan Gimme The Mic Global tidak lama lagi.

Menurut Farhan, intensiti pertandingan di peringkat global pastinya lebih sengit memandangkan para peserta terdiri daripada kalangan yang terbaik dari setiap negara.

“Saya akan menambah baik penghayatan dalam persembahan ketika bertanding di peringkat global nanti. Saya juga harus mengenal pasti pemilihan lagu-lagu yang tepat.

“Saya pun belum tahu bagaimana format dan suasana ketika pertandingannya itu nanti. Hanya saya tahu setakat ini ialah, kami akan bertanding dengan barisan peserta dari pelbagai negara. 

“Saya menjangkakan saingannya nanti akan lebih sengit dan mencabar,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, Farhan menyifatkan tuah menyebelahinya pada malam kemuncak saingan.

“Sejujurnya saya tidak berada di tahap yang terbaik pada malam final. Kedua-dua lagu tersebut saya bawakan dalam keadaan berhati-hati.

“Ketika sound check, suara saya memang dah teruk sangat. Namun, saya tekankan kepada penghayatan. Pada saya, jika nyanyian saya tidak sampai kepada pihak juri dan penonton, saya tak puas dan anggap persembahan itu gagal.

“Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya,” ujarnya lagi.

Farhan turut hadiahkan kemenangan tersebut kepada isteri dan anak.

“Program ini berlangsung selama lapan minggu. Sudah lebih dua bulan saya tidak bertemu dengan isteri dan anak. Ada ketika anak saya tidak sihat.

“Bila dengar anak tak sihat, saya agak terkesan dan risau. Kemenangan ini adalah untuk anak dan isteri yang banyak berikan sokongan,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Farhan berharap agar kemenangan di Gimme The Mic Malaysia ini bakal menjadi titik tolak untuk mengubah hidupnya ke arah yang lebih baik.

“Saya mula tebar roti canai selepas berkahwin pada 2022. Sejujurnya, ketika itu, saya memang sedang diuji dengan masalah kewangan. Dalam ketika saya sibuk bekerja sebagai penebar roti canai, saya nampak iklan Gimme The Mic.

“Pada mulanya memang ada perasaan trauma kerana saya sering gagal bila masuk program nyanyi di tv sebelum ini. Namun, saya kuatkan semangat dan percaya kepada rezeki.

“Daripada beribu peserta yang mendaftar, saya lepas Top 100, Top 50, Top 30 dan sampailah menjadi juara,” akhirinya.

Terdahulu, Farhan telah dinobatkan selaku juara Gimme The Mic Malaysia seterus membawa pulang hadiah keseluruhan hampir RM29,000.

Farhan juga bakal mengetuai cabaran bersama lima peserta Grand Six yang lain di peringkat global.

Published by
Aizam Manaf