Pelakon Chacha Maembong menjelaskan, dia tidak kisah sekiranya kerap ditawarkan untuk memegang watak antagonis dalam mana-mana naskhah asalkan ia berbeza dengan karakter-karakter lain yang pernah dijayakan.
Menurut Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah, 25, atas kepercayaan yang diberikan, dia akan cuba memberikan ‘nyawa’ kepada watak berkenaan dengan sebaik mungkin.
“Kalau produser asyik tawarkan saya watak antagonis, saya tak kisah, saya akan terima saja. Tapi, kalau boleh, kita buat watak antagonis yang lain-lain, bukan sama setiap masa.
“Sebab bagi saya, tak semesti kalau kita pegang watak antagonis kita perlu bising dan menjerit-jerit. Ada juga antagonis yang pendiam dan tidak dapat ditebak menerusi ‘body language’ dia,” katanya.
Ditemui pada sidang media maya drama Cukup Derita Itu 2 yang diadakan baru-baru ini, adik kepada pelakon Emma Maembong itu juga turut berkongsi mengenai perjalanan watak Ellana menerusi drama berkenaan.
Pada awalnya, Chacha akui rasa berasa gugup untuk membawakan watak berkenaan. Namun, lega apabila pengarah dan juga kru produksi tidak berhenti berikan sokongan.
“Ketika mula-mula ditawarkan watak Ellana, saya mengaku yang saya tidak mampu untuk buat. Saya maklumkan kepada produser dan pengarah supaya mereka menawarkan watak tersebut kepada orang yang mampu.
“Namun, mereka betul-betul mahukan saya menjayakan watak Ellana itu dan akhirnya saya terima cabaran yang diberikan. Alhamdulillah, berkat sokongan dan dorongan ramai orang, saya semakin selesa menjiwai watak Ellana,” katanya lagi.
Selain Chacha, Cukup Derita Itu 2 turut dibintangi oleh Hisyam Hamid, Ruhainies, Lia Natalia dan Didie Alias.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Chacha Maembong