“Ketika momen ini sekarang, saya tidak berhubung dengan sesiapa.” Demikian kata pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz selepas ditanya sama ada dia masih lagi berhubung dengan rakan artis, Ruhanies atau sesiapa yang terkait di dalam kontroversi melibatkan dirinya, sebelum ini.
Menerusi sesi podcast The Common Folks SG, penyanyi lagu Sayang Sayang itu mengambil pendekatan sendiri di rumah, sambil berfikir apa yang terbaik.
“Ketika momen ini sekarang, saya tidak berhubung dengan sesiapa sebab saya rasa lebih baik untuk bersendiri di rumah. Atas apa yang berlaku yang mungkin berpunca daripada saya, adalah lebih baik untuk saya bersendiri beberapa minggu.
“Berfikir mengenai apa yang sepatutnya saya lakukan. Saya rasa ‘lost’. Bila tengok wajah orang tua saya, mereka jadi kuat untuk saya meski saya tahu apa yang berlaku beri kesan besar kepada mereka,” katanya.
Imbas kembali, Bella mengambil keputusan memfailkan cerai terhadap Aliff secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, pada 13 Mac lalu.
Keputusan tersebut ialah susulan Aliff dan pelakon Ruhainies dicekup selepas dipercayai berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.
Aliff bagaimanapun enggan menceraikan Bella pada sebutan kedua kes tersebut pada 4 April lalu kerana masih sayangkannya selain mahu mempertahankan rumah tangga yang dibina.
Malah, isu di antara mereka semakin rumit apabila muncul seorang wanita yang dikenali sebagai Sarah Yasmine mendakwa dia ialah kekasih Aliff sejak Januari lalu.
Sarah turut mendedahkan pelbagai tangkap layar perbualan WhatsApp dipercayai di antara Aliff dan individu dinamakan sebagai ‘NRF’.
Pendedahan tersebut mengejutkan ramai pihak, selain ia turut mengaitkan beberapa nama selebriti tempatan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini