“Ketika Tengah Meletup, Semua Datang Macam Semut, Menghurung. Tapi Bila Kita…,” – Ops! Datin Ira Ghani Spill The Tea, Kini Ada Talk Show Sendiri

Share

Usahawan yang turut aktif dalam dunia lakonan dan pengacaraan, Datin Ira Ghani menzahirkan rasa terharu selepas menerima maklum balas baik dari rakan niaga serta selebriti ketika menyambut ulang tahun jenamanya, Aura Seri yang ke-20 tahun bulan lalu.

Kini dikenali sebagai Aura Seri by DIG, penjenamaan semula produknya memberikan azam baru buat pengasasnya itu meski mengakui ada yang seolah-olah pesimis terhadap usahanya itu.

“Saya pernah kongsikan hasrat untuk lakukan ‘comeback’ kepada beberapa rakan artis. Cuma saya bimbang agak-agaknya ada tak yang akan sokong keputusan ini. Jujurnya saya tak sangka, ramai artis yang sokong.

“Antaranya Datuk Rosyam Nor, Datuk Ramli MS, Datuk Awie, Zizan Razak, Liza Abdullah dan ramai lagi. Saya terharu sebabnya bila mereka lihat saya muat naik video ucapan artis di media sosial, ada rakan artis lain yang ‘pm tepi’ tanya mengenai perkara tersebut. Mereka turut tawarkan diri untuk turut sama berikan ucapan tahniah.

“Jenama Aura Seri suatu ketika dulu memang menyokong industri, malahan sehingga kini hubungan itu berjalan dengan sangat baik. Setiap majlis pasti akan diselitkan dengan kehadiran selebriti.

“Tetapi ada juga yang seakan-akan beri respon yang kurang baik. Tidak menyokong tu maksud saya mungkin bila ketika kita ni tengah meletup-letup, semua orang akan datang macam semut, menghurung.

“Tetapi apabila kita mendiam perkara sebaliknyalah yang jadi. Akan tetapi saya tidak berkecil hati kerana jenama ini pun sudah kukuh dan ada pembelinya sendiri. Malah bila penjenaman semula ini, kami lihat ada progres yang positif, alhamdulillah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ira, 44, yang kali pertama berlakon menerusi drama Menantu Ting Tong di samping Ruhainies dan Ben Amir lebih lima tahun lalu itu baru sahaja melancarkan program Santai With DIG di bawah saluran YouTube sendiri, DIG TV Channel.

Sudah pun bersiaran sebanyak episod sejak tiga episod, Santai With DIG dijangka mempunyai 13 episod kesemuanya dan akan ditayangkan setiap Jumaat jam 8.30 malam.

“Tagline yang kami gunakan ialah Syok, Santai dan Sempoi. Konten yang diketengahkan tidak langsung melibatkan produk atau yang seumpama dengannya. Ia lebih kepada perkongsian serta motivasi yang boleh dimanfaatkan oleh semua orang. Sesiapa sahaja boleh tengok dan ambil input.

“Sebelum ini saya pernah jadi hos di RTM selama dua tahun menerusi rancangan Feminin. Jadi mengapa tidak sekarang yang mana semua orang sudah boleh wujudkan saluran sendiri di YouTube. Saya ambil peluang itu.

“Bukanlah saya nak syok sendiri, tetapi saya sudah terbiasa berikan ceramah motivasi, buat seminar dan sebagainya. Lalu timbul idea untuk angkat ia dalam versi digital pula.

“Santai With DIG ini menjadi medium untuk kami berkongsi tentang apa yang kami ada kepada penonton. Konsepnya cukup santai dan bersahaja.

“Mungkin orang dekat luar tengok saya ala-ala macam sopan baik, tapi jangan tak tahu rupanya saya seorang yang santai dan easy going. Kiranya saya cabar dirilah juga.

“Sebab itu, saya beratus kali tanya suami mengenai perkara ini. Betulkah apa yang saya buat ni, yelah saya tak mahu orang lihat saya pada sisi sama saja. Saya pun faham, biasanya untuk program di YouTube ini kalau konsepnya lebih santai mudah untuk tarik perhatian penonton,” katanya lagi.

Pada masa sama, Ira turut berhasrat untuk menjemput beberapa selebriti popular sebagai panel jemputan di dalam episod yang akan datang. Dia ditemui dalam majlis minum petang Aura Seri by DiG di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.

Produk terkininya, aromaterapi Aura Seri by DiG juga sudah pun dilancarkan dan dijual pada harga RM99 di Semenanjung Malaysia, boleh didapati dari stokis sah produk berkenaan.

 

Published by
MH